Menarik
Tarikh Hari Ini
18 October 2017

Jamal Dan Tujuh Lelaki Ditahan, Bantu Siasatan Kes Pecah Botol Arak

Polis menahan Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos dan tujuh lagi lelaki di sekitar Sekinchan, Sabak Bernam awal pagi ini, berhubung insiden memecahkan botol arak di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan berkata mereka ditahan kira-kira pukul 1.45 pagi.

Beliau berkata, mereka ditahan berhubung tindakan berhimpun dan memecahkan kira-kira 100 botol minuman keras di hadapan pintu utama Bangunan SUK.

“Ekoran insiden itu pihak IPD Shah Alam menerima aduan daripada pengawal keselamatan bertugas semasa kejadian berkenaan.

“…dan satu siasatan akan dijalankan bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai satu perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam ekoran tingkah laku dilakukan oleh peserta perhimpunan,” katanya.

Beliau berkata polis akan memohon perintah reman ke atas semua yang ditahan di Mahkamah Shah Alam pagi ini untuk siasatan lanjut kes tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 10.00 pagi semalam, Jamal dan anggota gabungan itu membawa 10 kotak berisi kira-kira 100 botol minuman keras ke bangunan SUK, sebagai simbolik bantahan terhadap sebarang penganjuran pesta arak di negeri itu.

Jamal kemudian bertindak memecahkan semua botol minuman keras itu di hadapan pintu masuk utama bangunan tersebut.

Tindakan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman termasuk arak yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang minggu depan boleh dibenarkan asalkan menepati syarat dan peraturan ditetapkan polis serta Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya kekal dengan pendirian tidak membenarkan penganjuran pesta itu ekoran wujud ancaman militan berkaitan acara berkenaan dan menasihatkan MPK tidak membenarkan penganjuran acara itu.

Yang Dipertua MPK Datuk Mohamad Yasid Bidin pula mengakui pihaknya menangguhkan kelulusan permit sementara penganjuran pesta itu berikutan kegagalan penganjur mematuhi syarat ditetapkan antaranya kebenaran daripada pihak polis. – BERNAMA