Adun BN Dakwa Selangor Beri Tanah Kepada ‘Kroni’ Guna Maklumat Palsu

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak mendakwa kerajaan negeri Selangor dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah memberikan tanah kepada ‘kroni’ menggunakan maklumat palsu.

Sulaiman berkata berdasarkan risikan dibuat, seramai 18 penerima tanah yang diberikan oleh kerajaan negeri di kawasan Sungai Yu dalam Dun Permatang bukanlah penduduk asal Selangor.

Malah yang lebih memeranjatkan lagi pihak apabila mendapati maklumat yang dikemukakan oleh penerima tersebut adalah palsu.

“Saya amat kecewa, yang pertama daripada jumlah ini sebahagian besar yang terima bukan penduduk tempatan sebagaimana jawapan exco sebelum ini bahawa orang tempatan sepatutnya dapat hak milik tanah berkenan.

“Bukan satu kilometer, dua kilometer, tetapi 400 kilometer daripada kawasan yang mungkin dia pun tak pernah sampai. Ada dari Batu Kawan, Kuala Kangsar, Rembau, Masjid Tanah, Hulu Selangor. Saya amat kecewa.

“Jumlah yang diberikan oleh exco yang saya anggap daripada pihak kerajaan, saya kenal pasti ada beberapa perkara yang saya rasa amat kecewa. Lapan belas nama yang ada dalam senarai yang diberi dipalsukan butiran kad pengenalan.

“Saya anggap dipalsukan sebab saya buat semakan di Jabatan Pendaftaran Negara. Kad pengenalan yang diberi adalah kad pengenalan palsu,” katanya merujuk senarai nama penerima tanah yang didakwa didedahkan Exco Kemiskinan Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman pada sidang Dun Selangor yang lalu.

Sulaiman yang juga wakil rakyat Barisan Nasional Selangor turut mendesak agar mana-mana wakil kerajaan Selangor termasuk exco terlibat perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) Dun Selangor kerana memberi maklumat palsu kepada Dewan Undangan Negeri.

“Dalam Dewan yang mulia ini barang siapa yang memberikan jawapan palsu ia sewajarnya dihadapkan ke JKHK kerana memberi jawapan dan maklumat palsu kepada Adun.

“Ini kesalahan yang sangat besar, memberikan kenyataan palsu dan memberikan maklumat palsu. Lapan belas nama kita tak dapat temui pun mereka ini, apakah ‘hantu’ ini pun dapat tanah. Berdasarkan nama, ada dua ketua kampung PKR tetapi jawapan dalam dewan namanya dipalsukan dan saya tahu dia ketua kampung (kawasan saya).

“Saya juga minta kalau ada pegawai jabatan terlibat, saya nak minta kerajaan negeri ambil tindakan kerana memberi maklumat palsu.

“Kalau jawapan itu datang daripada exco saya nak minta exco itu dihadapkan ke JKHK dan saya secara peribadi sebagai Adun kawasan dah laksanakan tanggungjawab saya,” katanya.

Beliau menggesa Speaker Hannah Yeoh sebagai pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) membuat pendengaran awam terbuka berhubung skandal itu.

Sulaiman turut mendakwa kerajaan negeri memberi tanah tersebut kepada kroni sehingga mereka yang tidak berkelayakkan turut menerima inisiatif tersebut termasuklah yang bekerjaya doktor dan guru.

“Saya sebut dalam dewan, satu keluarga besar dapat. Isteri dapat, empat adik-beradik dapat, anak dua orang dapat, adik ipar pun dapat, besan pun dapat.

“Dua orang daripadanya adalah doktor, sepatutnya jawapan yang diberikan oleh exco dalam perbahasan lepas adalah mereka yang berpendapatan RM2,000 ke bawah. Doktor gaji lebih RM2,000 dan ada dua kakitangan awam berpangkat pegawai dan guru, nama mereka saya akan dedahkan nanti cuma saya tunggu jawapan bertulis dahulu.

“Ada satu lagi keluarga besar tapi saya tak dedahkan lagi, saya nak tunggu exco. Kalau betul saya akan dedahkannya atas dasar yang kononnya memperjuangkan hak, kebebasan dan keadilan sosial.

“Mana mungkin kleptokrasi bila dapat kuasa kerajaan Selangor mereka buat macam ini kepada kroni mereka,” katanya sambil memaklumkan seorang pegawai khas kepada Adun Kota Alam Shah turut tersenarai sebagai penerima tanah.