Guan Eng Telah Lakukan Sedaya Upaya Atasi Masalah Banjir, Kata Mohamed Azmin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memuji Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana telah berusaha sedaya upaya untuk mengatasi bencana banjir di negeri itu dan memastikan keselamatan rakyat terbela.

Mohamed Azmin berkata kerajaan Selangor akan bersolidariti dengan kerajaan Pulau Pinang ketika negeri tersebut dengan dilanda musibah, selain akan menghulurkan bantuan diperlukan dengan kadar segera.

“Kerajaan Selangor melahirkan rasa simpati kepada Pulau Pinang atas kejadian banjir kilat dan ribut taufan yang melanda negeri itu sehingga menyebabkan bencana besar

“Kerajaan Selangor bersolidariti dalam waktu sukar ini dan akan memberikan sokongan penuh menyediakan bantuan kepada mangsa banjir.

“Walaupun Kerajaan Selangor yakin Guan Eng sedang melakukan sedaya upaya untuk mengatasi masalah banjir di Pulau Pinang, kami memberi jaminan kami sedia menawarkan bantuan semampu yang mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamed Azmin, pihaknya telah mengarahkan pasukan sukarelawan di Selangor untuk segera bergerak ke Pulau Pinang dalam beberapa fasa bagi memulakan misi bantuan kepada mangsa banjir.

Tambah beliau, kerajaan Selangor akan menghulurkan bantuan barang keperluan dan makanan kepada semua mangsa yang terlibat.

Pulau Pinang hari ini lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di lima daerah di negeri itu dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih 15 jam sejak semalam.