Henti Beri Sumbangan Kepada Pengemis, Saran Pengarah JKM Selangor

Orang ramai disarkan agar berhenti memberi sumbangan terhadap golongan pengemis di negeri ini yang menjadikan kegiatan tersebut sebagai sumber pendapatan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit tanpa perlu bekerja keras.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Mohamad Hanafi Maulud berkata tindakan orang ramai terus memberi sumbangan terhadap golongan tersebut hanya akan memburukkan lagi situasi.

Kata Hanafi, beliau sendiri pernah menahan pengemis yang memiliki wang simpanan di dalam bank berjumlah RM18,000 pada tahun 1980-an.

“Pada 1980-an, ketika berkhidmat sebagai Pegawai JKM dan terbabit dalam satu operasi. Saya memeriksa salah seorang papa yang ditahan dan mendapati dia mempunyai wang simpanan RMM18,000, sedangkan kita yang berkerja siang malam belum tentu memiliki wang simpanan sebanyak itu.

“Bayangkan jika kisah yang saya ceritakan ini berlaku pada 1980-an, bagaimana pula zaman sekaran? Sudah tentu mereka mampu memperolehi pendapatan lebih lumayan,” katanya.

Tambah beliau, golongan pengemis ini kebiasaannya hanya mahu wang tunai dan bukan bantuan dalam bentuk lain seperti pakaian atau makanan.

“Biasanya bila diajak makan sudah pasti mereka (pengemis) tolak kerana hanya mahu wang.”

Hanafi turut menyeru orang ramai agar menggunakan saluran yang betul termasuk menyalurkan kepada organisasi disahkan kerajaan untuk membantu golongan tidak bernasib baik.

“Orang ramai juga digalakkan bertanya soalan kepada pengemis bagi mengelakkan ditipu,” katanya.