Jambatan Ketiga Klang Selamat Dirasmikan Sultan Selangor

Jambatan Ketiga Klang dinamakan Jambatan Raja Muda Nala, hari ini, selamat disempurnakan perasmiannya oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang hadir mencemar duli diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamsida Taharin.

Mohamed Azmin berkata, pembinaan jambatan tersebut dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri tanpa sebarang pinjaman dari mana-mana institusi perbankan luar ataupun tempatan.

“Pembangunan yang diberikan keutamaan kerajaan negeri adalah pembangunan berkualiti demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta menjamin alam sekitar, pemuliharaan hutan dan kawasan hijau serta membudayakan teknologi hijau,” katanya.

Tambah Mohamed Azmin, jambatan tersebut bakal menyelesaikan masalah aliran trafik yang menghubungkan kawasan Teluk Pulai dan Sungai Bertek di bahagian selatan dan Tanjung Syawal di bahagian utara.

Malah katanya lagi, kemudahan jambatan tersebut diharapkan dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi, selain membuktikan kemampuan kerajaan Selangor menyediaakan infrastruktur terbaik untuk menarik kehadiran pelabur ke negeri ini.

Jambatan sepanjang 2.5 kilometer itu merentasi Sungai Klang itu dibina dengan kos pembinaan RM199 juta dan siap sepenuhnya pada 15 Jun 2017.

Syarikat Cergas Murni Sdn Bhd telah dilantik sebagai kontraktor untuk menyiapkan jambatan ini selepas melepasi penilaian teknikal dan menawarkan harga terbaik dengan tempoh pembinaan selama tiga tahun.