MDKL Sita Lima Premis Pernigaan Dikendalikan Warga Bangladesh

Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) telah menyita lima premis perniagaan yang dikesan dikendalikan oleh warganegara Bangladesh kerana dipercayai menjalankan perniagaan tanpa lesen sejak awal 2017, di sekitar daerah ini.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata operasi khas sitaan premis perniagaan warganegara asing oleh pihak berkuasa tempatan itu dilaksanakan setelah pihaknya melakukan beberapa pemantauan, risikan dan tindakan termasuk mengeluarkan notis, sejak April lalu.

Kata beliau, operasi tersebut dilaksanakan dengan kekuatan 20 anggota diketuai Ketua Operasi, Mohd Hairul Nizam Salimin yang telah mengenal pasti beberapa jenis perniagaan termasuk jualan makanan dan mengusahakan kedai runcit diusahakan oleh warga asing berkenaan.

“Hasil siasatan, anggota kami berjaya merampas peralatan penyediaan makanan dan barangan runcit membabitkan dua premis kedai makan dan tiga buah premis kedai runcit.

“Barang barang sitaan kemudiannya dihantar ke stor Pejabat Cawangan MDKL Bandar Saujana Putra untuk tindakan lanjut,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zain berkata, tindakan sitaan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil 38(1) Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MDKL 2007 (Premis perniagaan runcit) dan Undang-Undang Kecil 57(1) Undang-Undang Kecil Establishment Makanan MDKL 2007 (Premis makanan dan minuman).

Katanya, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana premis perniagaan diusahakan tanpa lesen bagi mengelakkan pelbagai masalah berkaitan.