Pejabat MB Selangor Kesal Kebocoran Maklumat Penahanan Anak Saudara Azmin

Pejabat Menteri Besar Selangor kesal dengan kebocoran maklumat secara meluas melalui media sosial berkaitan penahanan anak saudara Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dipercayai didalangi kumpulan media sosial pro-Umno.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat MB Selangor, Yin Shao Long yakin bahawa tindakan penyebaran maklumat sebelum penahanan dipercayai mempunyai motif jahat selain bertujuan memberi reputasi buruk terhadap pemimpin itu dan pentadbiran kerajaan negeri.

Shao Long berkata kebocoran maklumat mengenai penahanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu sesuatu yang membimbangkan dan menjejaskan integriti agensi kerajaan berkenaan.

“Kita tidak mempersoalkan tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan. Namun, dalam kes ini, kita kesal kerana pembocoran maklumat secara meluasmelalui media sosial dan blogger Umno sebelum penahanan tersebut dilakukan jelas menggambarkan wujudnya konspirasi jahat untuk memburukkan reputasi Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya dalam kenyataan yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp hari ini.

Shao Long turut menyifatkan bahawa penahanan anak saudara Mohamed Azmin itu mempunyai motif terselindung termasuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu kleptokrasi dan skandal rasuah melibatkan pemimpin di peringkat nasional.

“Siasatan ini jangan digunakan sebagai alat untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap skandal rasual dan amalan kleptokrasi berskalai besar yang melibatkan pemimpin negara,” katanya lagi.

Tambah Shao Long, kerajaan Selangor akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi membantu siasatan berkaitan tuduhan rasuah anak saudara MB Selangor kerana berpegang teguh prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Shao Long juga meminta semua pihak agar tidak menjadikan proses siasatan itu sebagai alat menyerang Mohamed Azmin memandangkan MB Selangor itu sentiasa sentiasa bersikap telus dalam pentadbirannya.

Semalam, anak saudara MB Selangor ditahan bersama tiga lagi suspek lain bagi membantu siasatan SPRM berkaitan tuduhan rasuah melibatkan lombong pasir di negeri ini.