Pelajar Tingkatan Empat Dirogol, Dipukul, Dirompak Dan Dibuang Dalam Hutan

Seorang pelajar tingkatan empat dirogol tiga lelaki secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, dirompak dan dipukul sebelum mangsa dibuang ke dalam hutan selepas mangsa bersetuju menaiki kereta dipandu suspek.

Dalam kejadian 4.00 pagi, Jumaat lalu, mangsa yang menetap di Bandar Puchong Jaya, Puchong pada mulanya bertemu dengan dua suspek sebelum diundang ke rumah mereka dengan menaiki kereta.

Menurut sumber polis, semasa tiba di rumah berkenaan terdapat seorang lagi suspek yang telah berada di situ.

Mangsa berusia 16 tahun kemudian dipaksa masuk ke dalam bilik sebelum dirogol seorang suspek, diikuti dua lagi suspek yang melakukan perkara sama.

“Ketika mereka sedang berborak, salah seorang lelaki memaksa mangsa masuk ke dalam bilik dan merogolnya. Dua lagi suspek masuk dan melakukan perkara sama,” kata sumber polis.

Mangsa yang tidak mampu melawan hanya membiarkan dirinya diperlukan sedemikian dan kemudian meminta suspek untuk menghantar pulang, namun permintaannya tidak diendahkan.

“Mangsa sebaliknya dibawa menaiki kereta ke dalam kawasan hutan sebelum salah seorang daripada suspek memukul mangsa di bahagian muka.

“Suspek meminta mangsa menyerahkan barangan peribadi miliknya, namun wanita itu enggan menuruti arahan suspek lalu menyebabkan dia ditendang keluar daripada kendaraan.

“Barangan peribadinya termasuk telefon pintar, jam tangan, wang tunai serta kad pengenalan dirampas,” kata sumber itu lagi.

Mangsa yang ditinggalkan bersendirian, pulang semula ke rumah dengan bantuan anggota Rela yang menemuinya di kawasan berhampiran, sebelum membuat laporan polis di Balai Poilis Dengkil, Sepang, untuk tindakan lanjut.

Difahamkan polis kini sedang giat menjejaki kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian itu.