Pemberian Kondom Percuma Adalah Fitnah Media Pro-Umno, Kata Sumber

Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri akan memberi kondom percuma bagi mencegah penyebaran virus HIV dan AIDS kalangan anak muda di negeri ini, sebaliknya percaya dakyah tersebut sengaja ditimbulkan media pro-Umno untuk memfitnah kerajaan Selangor.

Menurut sumber dari pejabat tersebut, kerajaan Selangor sememangnya sentiasa menitikberatkan soal kebajikan rakyat, namun tuduhan memberi kondom percuma dianggap berniat jahat dan diyakini bertujuan memberi imej buruk kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kata sumber itu, dakyah yang dimainkan beberapa individu dipercayai jentera berbayar media sosial pro-Umno itu dipercayai bertujuan mengalihkan perhatian terhadap kegagalan kerajaan persekutuan menyalurkan bantuan sewajarnya terhadap Pulau Pinang yang dilanda banjir.

“Kita percaya bahawa mereka (jentera media sosial) ini adalah individu yang menerima bayaran untuk memfitnah kerajaan Selangor dan Datuk Seri Menteri Besar.

“Inisiatif (pemberian kondom secara percuma) seperti ini pasti akan dimaklumkan melalui sidang Dewan Negeri Selangor ataupun dimaklumkan di media massa, tetapi mengapa hanya cyber trooper Umno sahaja yang menimbulkan isu ini?” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, Pejabat Menteri Besar Selangor tidak teragak-agak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan pihak yang dikesan menyebarkan fitnah tersebut.

Katanya, rakyat Selangor boleh mengikuti perkembangan semasa kerajaan Selangor melalui saluran media yang diwujudkan kerajaan negeri dan tidak percaya kepada penularan melalui media sosial semata-mata.