Sultan Selangor Murka Dengan Kenyataan “Bugis Lanun” Dr Mahathir

Dewan di-Raja Selangor meminta agar siasatan dan tindakan undang-undang dijalankan terhadap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamed kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina keturunan Bugis di negara ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui kenyataan hari ini melahirkan kemurkaan dan perasaan amat kecewa dengan ucapan Dr Mahathir yang disifatkan baginda sebagai cuba menghasut rakyat untuk memandang serong, membenci dan menghina kaum Bugis.

Titah baginda, Dr Mahathir wajar disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 atau mana-mana peruntukan undang-undang berkaitan kerana kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan itu semasa berucap dalam Himpunan Sayangi Malaysia – Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya, 14 Oktober lalu.

“Berdasarkan rakaman klip video ucapan berkenaan yang telah tular di media sosial, tohmahan dan kenyataan Tun Dr Mahathir itu jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis ini kononnya berasal usul dari golongan lanun, perompak dan penjenayah.

“Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menganggap ucapan berkenaan amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan huru-hara.

“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis,” kata kenyataan itu.

Sultan Sharafuddin turutu mengingatkan semua pihak, terutama ahli politik agar tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik kerana ianya boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

“Tun Dr Mahathir sebagai seorang bekas perdana menteri yang menerajui pemerintahan negara selama tempoh 22 tahun seharusnya lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan seharusnya juga lebih mengetahui tentang fakta sejarah keturunan bangsa Bugis.”

Dr Mahathir semasa berucap dalam Himpunan Sayangi Malaysia – Hapuskan Kleptokrasi menemplak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dengan menggelarkannya sebagai “keturunan lanun Bugis”.

Susulan kenyataan Dr Mahathir itu, beberapa bantahan dilakukan badan bukan kerajaan berkaitan termasuk Persatuan Rumpun Bugis Melayu Malaysia yang menganggap kenyataan Pengerusi PH itu menghina kaum mereka.