Berhenti Kelirukan Rakyat Dalam Isu Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Kata Pemuda Umno Shah Alam

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar tidak mengelirukan rakyat dengan dakwaan bahawa pemansuhan Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau merupakan perjuangan mereka, sebaliknya desakan itu telah lama menjadi agenda kepimpinan Umno Shah Alam.

Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop berkata sikap pemimpin pembangkang yang gemar mengambil kesempatan atas usaha pihak lain termasuk dalam pemansuhan dua tol tersebut merupakan tindakan terdesak dan menunjukkan kegagalan kepimpinan PH dalam memperjuangkan isu berkaitan rakyat.

Katanya, tindakan itu boleh diibaratkan seperti “lembu punya susu, sapi dapat nama” kerana pemansuhan tol tersebut telah menjadi agenda kepimpinan Umno dan Barisan Nasional di Shah Alam semenjak 2011 lagi.

“Agak-agaknya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mendengar suara siapa antara Umno Bahagian Shah Alam dan Umno Selangor atau PKR bersama sekutunya DAP, PPBM dan PAN?

“Secara wajibnya sudah tentu kita tidak akan mendengar dari musuh yang ingin membunuh kita.

“Jadi kesimpulannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno tidak akan mempertimbangkan suara dari musuhnya yang melalak tidak habis-habis. Suara yang akan didengari dan akan diutamakan ialah suara sahabat baiknya.

“Disebabkan itu beliau hanya akan mendengar dan pertimbangkan saluran usul Umno Bahagian Shah Alam yang begitu perihatin akan permintaan rakyat Shah Alam khususnya dan rakyat Selangor amnya,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda Umno Selangor turut meminta agar kepimpinan PH terutama di negeri ini agar berhenti mengambil kesempatan dalam isu tersebut, selain mula membuktikan kemampuan mereka bekerja untuk rakyat.

Perkhidmatan Tol Batu Tiga dan Tol Sungai Rasau akan dimansuhkan menjelang 1 Januari depan berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam pembentangan Bajet 2108 di Dewan Rakyat, Oktober lalu

Umno Bahagian Shah Alam dan lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 2011 telah menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Shaziman Abu Mansor untuk dikemukakan bagi pertimbangan perdana menteri bagi memansuhkan kedua tol tersebut.