Dua Maut, Seorang Cedera Parah Langgar Plaza Tol Batu Tiga

Dua remaja maut, manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan di Plaza Tol Batu Tiga di Shah Alam, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata dalam kejadian pada jam 6.36 pagi tadi, ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah kereta Perodua Kancil dari Kuala Lumpur menghala ke Klang.

Namun kereta itu dipercayai hilang kawalan sehingga menyebabkan pemandunya yang berusia 23 tahun melanggar plaza tol berkenaan.

“Susulan pelanggaran itu, dua rakannya yang menumpang dalam kereta iaitu seorang remaja lelaki berusia 21 tahun dan seorang perempuan berusia 20 tahun maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pemandu kereta berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan.

“Lelaki yang maut berasal dari Kampung Padang Sungai Congkak, Hulu Langat manakala remaja perempuan berasal dari Taman Pinggiran Pedas, Pedas, Negeri Sembilan.

“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam (HSA) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.