Hanya Lima Kawasan Parlimen Di Selangor Akan Terlibat Persempadana Semula

Persempadanan semula kerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi Selangor menyaksikan hanya lima kerusi kawasan parlimen yang akan dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbanding 18 sebelum ini.

Berdasarkan kepada cadangan persempadanan semula kedua yang dipamerkan hari ini, lima kerusi parlimen yang terlibat ialah Tanjong Karang, Kuala Selangor, Gombak, Ampang dan Pandan.

Menurut cadangan pertama persempadanan semula SPR bagi Selangor, 18 kawasan parlimen akan terlibat termasuklah Selayang, Hulu Langat, Puchong, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya Utara, Subang, Shah Alam, Kapar, Klang, Kota Raja, Bangi dan Kuala Langat.

SPR juga mengambil keputusan untuk mengekalkan cadangan menamakan semula kawasan parlimen Serdang sebagai Bangi, namun menggugurkan cadangan menamakan empat kawasan parlimen lain.

Berdasarkan cadangan pertama, SPR akan menamakan enam kerusi dewan undangan negeri (Dun) Selangor, namun mengambil keputusan untuk menamakan hanya empat, Batu Caves (ditukar nama Sungai Tua), Chempaka (Pandan Indah), Bangi (Sungai Ramal), dan Teluk Datuk (Banting), dalam cadangan kedua.