Pas Mahu Tawan Selangor, Jadikan Negeri Islam Contoh, Kata Abdul Hadi

Pas berhasrat mahu merampas Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) dan akan menjadikannya sebagai ‘negeri contoh’ yang ditadbir mengikut syariat Islam untuk diikuti oleh negeri lain.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti Islam itu akan berlaku adil kepada semua rakyat berbilang kaum dan bangsa di Selangor, jika mereka berjaya menawan negeri tersebut.

Katanya, seandainya Pas diberi peluang mentadbir Selangor, semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama akan dibela dan diberi keadilan berdasarkan lunas yang digariskan dalam agama Islam.

“Negeri Selangor perlu menjadi contoh, kita harap rakyat Selangor mesti memilih kepimpinan Islam.

“Orang Islam yang memimpin dahulu. Biar orang Islam ke depan. Pilih calon-calon Islam yang boleh menegakkan ajaran Islam.

“Kita mesti faham, bukan kita membelakangkan orang-orang bukan Islam, kewajipan kita adil terhadap semua, berdosa kalau kita tidak berlaku adil terhadap orang bukan Islam.”

Tambahnya, walaupun kerajaan yang akan dibentuk oleh Pas itu akan mengutamakan pemimpin Islam, namun Pas tetap akan menyediakan ruang untuk pemimpin bukan Islam berada dalam kerangka kerajaan negeri sebagai wakil golongan itu.

“Ada wakil orang bukan Islam, bukan tak ada wakil, tapi Islam memimpin. Ada exco bukan Islam, ada menteri yang bukan Islam, ada urusan-urusan orang bukan Islam, tapi dasar dan polisi negara mesti Islam. Ini fleksibel Islam. Keanjalan Islam.

“Di negara lain, kalau komunis yang memerintah, mesti orang komunis 100 peratus.” katanya ketika berucap di Himpunan Fastaqim 2.4 dan majlis pelancaran jentera pilihan raya Pas Selangor di Stadium JKR Seksyen 17, Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Abdul Hadi turut menasihati generasi muda terutama kalangan umat Islam agar mendaftar sebagai mengundi dan melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Malangnya hari ini ramai kalangan umat Islam, anak muda dan lain-lain menganggap undi dan pilihan raya tidak penting dan mustahak.

“Ada yang tidak mahu daftar, keluar mengundi dan anggap semua parti sama. Ini anggapan salah dan bertentangan dengan agama Islam.”

Pada 24 Ogos lalu, Pas Selangor mengumumkan akan bertanding di sekurang-kurangnya 42 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor termasuk di kawasan yang dimenangi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Islam.

Malah Pas Selangor dilaporkan bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru termasuk di kerusi yang dimenangi rakan komponennya semasa berada dalam Pakatan Rakyat.