Pembekuan Peruntukan, Adun Pas Selangor Mungkin Menghadap Sultan

Pas Selangor tidak menolak kemungkin untuk mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah minggu ini sekiranya masalah pembekuan peruntukan kawasan kepada wakil rakyat parti itu tidak diselesaikan kerajaan Selangor dengan segera.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata keputusan tersebut akan dibuat selepas wakil rakyat parti itu dapat membuktikan bahawa spekulasi pembekuan dana untuk Adun dari partinya adalah benar.

“Isu ini sebahagian daripada kemungkinan yang akan kita lakukan tapi kita belum boleh pastikan dan akan tengok dari sudut sejauh mana pembekuan berlaku.

“Jadi kalau beku, mengadap tuanku adalah sebahagian daripada itu. Itu pun jika tuanku berkenan. Kalau tak berkenan tak buat boleh apa kerana ini adalah isu politik,” katanya ketika dihubungi.

Kata Sallehen, pihaknya telah dimaklumkan secara lisan oleh Bendahari Kerajaan Selangor berkaitan pembekuan tersebut, namun masih belum menerima sebarang surat rasmi berkaitan hal tersebut.

“Pegawai kewangan negeri memaklumkan secara lisan bahawa peruntukan dibekukan tapi macam mana pun kita tak pegang yang itu kerana surat rasmi tak keluar lagi. Jadi tuntutan tetap macam biasa.

“Apa-apa kita tunggu hujung bulan (Januari), sebab duit belum turun. Kalau lepas ini kita lihat Adun bukan Pas boleh tuntut, ketika itu kita boleh pastikan kita kena beku,” katanya.

Tambahnya lagi, kelewatan penyaluran peruntukan tersebut menyebabkan sebilangan wakil rakyat Pas terpaksa menggunakan wang peribadi bagi menjalankan program dan menyelesaikan pelbagai projek di Pusat Khidmat Dun masing-masing.

“Sekarang ini ada projek yang libat duit peribadi Adun dahulukan untuk program. Sepatutnya tak berlaku pembekuan. Kalau berlaku pembekuan jadi masalah pada kita. Ada yang guna duit peribadi. Ini bukan duit Adun, ini adalah duit rakyat,” katany.

Beliau bagaimanapun berkata bahawa partinya itu akan menunggu terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Ditanya mengenai kemungkinan bahawa pembekuan peruntukan tersebut adalah disebabkan permainan politik pihak tertentu dalam kerajaan Selangor, Sallehen mendakwa dirinya tidak tahu dan enggan mengulas lebih lanjut.

“Saya tak boleh nak kata, saya tak tahu pasal apa. Sebarang ulasan tunggu sehingga kita boleh benar-benar ada kepastian, peruntukan itu dibekukan. Buat masa ini kita tunggu dulu.”