Aksi Londeh-Melondeh Beri Gambaran Sikap Politik Pakatan Harapan, Kata Umno Selangor

Aksi “londeh-melondeh” antara kepimpinan parti komponen Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dapat memberi gambaran kepada rakyat sikap sebenar politikus gabungan pembangkang itu, kata kepimpinan Umno Selangor.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata rakyat seharusnya sedar dan mampu menilai kemampuan sebenar PH sebagai sebuah gabungan parti politik dengan hanya melihat kepada cara pengagihan kerusi DUN yang dilakukan mereka.

Katanya, kemelut tersebut membuktikan bahawa pemimpin gabungan pembangkang itu sanggup bergaduh sesama sendiri semata-mata bagi memenuhi perasaan tidak puas hati mereka.

“Perkembangan semasa politik di Selangor menyaksikan sikap sebenar pemimpin pembangkang yang pada hakikatnya tidak akan pernah puas dengan apa yang mereka ada. Jika perkara berkenaan tidak dipenuhi maka akan bergaduh, bertengkar dan londeh melondeh sesama mereka,” katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah Mat Nadzari, sikap ahli politik dalam PH yang bercakap mengikut kehendak peribadi tanpa ada rasa hormat jelas membuktikan gabungan pembangkang itu tidak hormat kepada rakyat Selangor.

Menurut beliau, tindakan sebahagian kepimpinan gabungan pembangkang yang menyerang Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara terbuka memberi cerminan kepada corak pentadbiran dan kepimpinan Menteri Besar Selangor itu.

“Kredibiliti Datuk Seri Azmin Ali yang dicemuh sebegitu rupa mencerminkan situasi sebenar menteri besar Selangor itu yang sebenarnya gagal memimpin sebuah jemaah dan negeri. Soal pembahagian kerusi pun tidak mampu diselesaikan dengan baik sehingga pekung masing-masing dibawa kepada umum.”