Masalah Peruntukan, Adun Pas Boleh Temui Saya Atau Pegawai Daerah, Kata Mohamed Azmin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang mempunyai masalah peruntukan bertemu dengannya atau pegawai daerah masing-masing.

Mohamed Azmin berkata isu pembekuan peruntukan negeri kepada wakil rakyat dan penyelaras Dun Pas di negeri ini tidak perlu diperbesarkan sehingga memerlukan campur tangan pihak Istana, sebaliknya mereka boleh datang bertemu dengannya untuk berbincang.

“Kalau Umno kita bagi takkan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan tak bagi. Cuma kena patuh prosedur,” kata Azmin kepada pemberita selepas satu majlis di Masjid Ukay Perdana, Bukit Antarabangsa hari ini.

Kata Mohamed Azmin, beberapa permohonan Adun Pas berkaitan projek yang mahu dilaksakan di kawasan masing-masing sudah diserahkan kepada pegawai daerah berkenaan untuk penilaian dan kelulusan.

“Saya terima beberapa permohonan Adun tentang projek-projek yang hendak dilaksanakan, dan saya telah serahkan pada pegawai daerah untuk lihat dan luluskan.”

Pas Selangor sebelum ini telah memberikan tempoh kepada Mohamed Azmin agar menyelesaikan pembekuan peruntukan negeri kepada wakil rakyat dan penyelaras Dun Pas sebelum perayaan Tahun Baru Cina, 17 Februari ini.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata parti Islam tersebut akan bertindak sekiranya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu tidak memenuhi tuntutan itu.

“Kalau kami masih belum menerima juga, dan apabila Adun-Adun lain yang kami difahamkan ada yang boleh menggunakan peruntukan ini, maka selepas daripada Tahun Baru Cina ini kita akan ambil tindakan seterusnya termasuk buat kenyataan rasmi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pas, Selasa lalu.