Parti Komponen PH Lain Boleh Ambil Kerusi PKR Selangor Jika Mampu Menang

PKR Selangor rela melepaskan sebahagian besar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ingin ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) seandainya parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) mampu membuktikan mereka boleh memenangi kerusi tersebut.

Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza Talha berkata pendirian PKR itu bukan disandarkan kepada sentimen, sebaliknya parti itu telah menjalankan kajian dan mendapat maklum balas di lapangan berhubungan keberangkalian untuk menang.

Katanya, PKR lebih dikenali oleh rakyat Selangor berbanding parti komponen PH lain, terutama Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Parti yang inginkan kerusi tersebut kena tunjuk boleh menang, kemampuan dari segi jentera, calon dan pengundi kenal parti tersebut.

“Kita jalankan tinjauan, jika kerusi ini ditandingi PKR, kebarangkalian untuk menang lebih tinggi.

“Kawan-kawan baru seperti Amanah dan Bersatu (PPBM) berhadapan cabaran yang agak getir, perlu memperkenalkan parti di tempat yang ditandingi mereka,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini.

PKR, sebelum ini, dilaporkan mensasarkan untuk bertanding di kesemua 21 kerusi DUN yang pernah ditandingi mereka pada pilihan raya umum lalu, walaupun hanya memenangi 14 daripadanya.

Tambah Haniza, PKR terpaksa mengutamakan strategi yang difikirkan akan memberi peluang terbaik kepada PH kekal memenangi Selangor.

“Bukan kita menghalang permintaan rakan-rakan dalam Harapan (PH). Faktor calon juga diambil kira. Ramai di Selangor yang belum membuat keputusan kerana mereka mahu melihat calon dahulu,” katanya.

Menurut Haniza lagi, sidang media yang diadakan hari ini bagi menunjukkan bahawa sebarang pertikaian dalam PH berkenaan kerusi di Selangor dianggap telah selesai.

Malah beliau meminta semua rakan komponen PH agar menggunakan saluran dalaman dan tidak lagi menjadikan media sebagai tempat menyuarakan ketidakpuastian mereka kerana mungkin mencetuskan salah faham.

“Kita mahu mulakan episod baru. Selepas ini kita akan duduk bersama rakan-rakan dan tersukan rundingan. Jika ada perbezaan, bincang secara dalaman.

“Sebelum ini semua hal diceritakan kepada media, dan ia mungkin mencetuskan salah faham,” katanya.

Kemelut mengenai pengagihan kerusi DUN Selangor timbul apabila pemimpin Amanah dan DAP Selangor mendakwa bahawa partinya tidak dimaklumkan mengenai mesyuarat rundingan kerusi bagi negeri tersebut.

Bagaimanapun kenyataan pemimpin dari dua parti tersebut ditemplak oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin yang bertegas bahawa mesyuarat tersebut telah diadakan sebanyak empat kali dengan 80 peratus kerusi sudah diputuskan.