Pemuda PPBM Selangor Dakwa Dua Pemimpin Ditawarkan ‘Dedak’ Untuk Tinggalkan Parti

Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor mendakwa dua pemimpin sayap parti itu telah didekati pihak tertentu yang menawarkan wang tunai dan pekerjaan seandainya mereka bertindak meninggalkan parti.

Ketua Pemuda PPBM Selangor, Adhif Syan Abdullah berkata pihak berkenaan telah berjumpa dengan Timbalan Ketua Pemudanya, Anas Akashah Nazri dan Ketua PPBM Sabak Bernam, Saufi Yusof dan memujuk mereka untuk keluar parti dengan tawaran lumayan.

Katanya, bagaimanapun dua pemimpin tersebut telah menolak tawaran berkenaan dan kekal bersama kepimpinan PPBM bagi mendepani Umno-Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

“Pihak itu memujuk untuk keluar parti dan mengumumkannya pada sidang media bersama mereka. Syukurlah sahabat saya berjiwa kental menolak anasir tidak bermaruah ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM, di Petaling Jaya, hari ini.

Pendedahan mengenai cubaan rasuah terhadap Pemuda PPBM itu dibuat selepas Ketua Srikandi PPBM, Rina Mohd Harun, beberapa hari lalu, mendedahkan ada ahlinya didekati pihak tertentu menawarkan rasuah agar mereka meninggalkan parti.

Dalam sidang media berkenaan juga, Pemuda PPBM turut menunjukkan transkrip perbualan yang didakwa membuktikan individu berkenaan menawarkan wang dan pekerjaan jika mereka bersetuju mengadakan sidang media mengumumkan bertindak keluar dari parti.

Menurut Adhif, sehingga kini hanya dua pemimpin sayap itu yang menerima tawaran sedemikian dan meminta sesiapa juga ahli yang pernah ditawarkan perkara sama agar tampil membuat laporan dan mendedahkannya.

Sehingga kini tiada sebarang laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun polis, kerana individu yang didakwa membuat tawaran berkenaan merupakan bekas pemimpin Pemuda PPBM di peringkat bahagian dan masih lagi menjadi ahli parti itu.