Saya Sedia Jadi Ketua Jentera Untuk Kempen Shahrizat, Kata Jamal Md Yunos

Umno Bahagian Sungai Besar tidak menolak seandainya Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil diputuskan pucuk pimpinan parti untuk bertanding di parlimen tersebut mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata beliau bersedia menerima pemimpin wanita Umno itu untuk bertanding di kawasan terbabit, malah menawarkan diri untuk menjadi ketua jentera bagi membantu kempen calon tersebut.

Katanya, isu mengenai pencalonan Shahrizat di kerusi parlimen Sungai Besar tidak wajar diperbesarkan dan semua pihak harus berlapang dada menerima sebarang keputusan pucuk pimpinan parti.

“Seperti saya katakan, saya akan bentang ‘red carpet’ seandainya benar Tan Sri Shahrizat akan bertanding di (parlimen) Sungai Besar.

“Saya sendiri akan jadi ketua jentera bagi kempen Tan Sri Shahrizat sebab saya percaya beliau boleh menang di sini,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Santai Bersama Media di Sekin Fisherman Village Hotel & Resort di Sekinchan, Selangor, malam ini.

Ditanya mengenai kedudukan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi seandainya Shahrizat dicalonkan di kerusi tersebut, Jamal menegaskan bahawa pemimpin tersebut mungkin kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Panjang pada pilihan raya umum.

Tambahnya lagi, Budiman mempunyai sokongan kuat pengundi di kawasan Dun itu, selain dilihat mempunyai masa depan politik cukup cerah seandainya BN berjaya menawan semula Selangor pada PRU 14.

“YB Budiman akan kekal bertanding di Sungai Panjang. Lagi pula, namanya antara yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Selangor seandainya Barisan Nasional memenangi semula Selangor.”

Desas-desus mengenai pencalonan Shahrizat di kerusi parlimen Sungai Besar mula kedengaran semenjak minggu lalu apabila beberapa pengamal media sosial pro-Umno menularkan perkara tersebut.