Tiada Rundingan, PPBM Tegas Mahu Tanding Di 12 Kerusi DUN Dimenangi Umno

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang mahu bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimenangi Umno-Barisan Nasional pada pilihan raya lalu.

Ketua Penerangannya, Sallehuddin Amiruddin berkata keputusan tersebut telah dibuat berdasarkan hasil mesyuarat parti itu pagi semalam dan sebarang rundingan berkaitan hal tersebut tidak akan dilayan.

Katanya, walaupun PPBM akan bertanding di 12 kerusi berkenaan, namun kepimpinan parti itu tidak akan menolak seandainya diberikan kerusi DUN lain pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

“Jika ada mana-mana parti yang hendak bagi kerusi lebih, kita ‘okay’. Kalau kurang dari itu tidak mungkin,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa rundingan kerusi Pakatan Harapan Selangor hari ini.

Tambah Sallehuddin, PPBM Selangor komited untuk memenangi kawasan berkenaan, namun meminta komponen lain dalam PH menghormati keputusan mereka melawan Umno secara “one-by-one”.

“PPBM ditubuhkan untuk bersaing dengan Umno dan menggantikan Umno, kerana itulah kita mahu meletakkan calon di 12 kerusi.

“PKR mahukan semua kerusi itu. Maka kita kosonglah. Tidak ada apa-apa keputusan pada hari ini,” katanya.

Katanya lagi, PPBM Selangor turut mengumumkan tidak akan mengiktiraf keputusan mesyuarat empat parti komponen PH, semalam, yang telah menentukan pembahagian 35 daripada 56 kerusi DUN.

Keputusan mesyuarat tersebut didakwa tidak dilakukan dengan mengambil kira sentimen pengundi di negeri itu dan hanya menguntungkan parti tertentu dalam komponen gabungan pembangkang.

Menurut Sallehuddin, wujud kewajaran agar kerusi yang ditandingi Pas pada pilihan raya lalu diberikan kepada Parti Amanah Negara (Amanah), manakala PPBM pula diletakkan bertanding di kerusi dimenangi Umno-BN.