FAS Nafi Selangor Tarik Diri Musim Depan

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menafikan bahawa pasukan itu akan menarik diri bagi musim depan dan menyifatkan laporan berita mengenai perkara tersebut merupakan salah faham dan mengelirukan.

Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Abdul Mokhtar Ahmad berkata kemelut yang melanda persatuan itu tidak akan melunturkan semanat pasukan Selangor untuk terus bersaing dalam liga pada musim depan dan pihaknya yakin semua cabaran ini akan berakhir dengan baik.

Malah menurutnya, FAS masih mencari solusi terbaik di bawah pimpinan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkaitan isu dalaman persatuan dalam memastikan Red Giants akan kekal bermain pada musim hadapan.

“FAS masih memandang positif untuk mencari titik persamaan dengan Presiden berkaitan dengan isu dalaman persatuan dan apa yang berlaku dalam sidang media adalah akibat kekeliruan,” katanya dalam kenyataan kepada pihak media hari ini.

Beliau turut percaya bahawa penyelesaian bagi kemelut dihadapi FAS ini sentiasa ada dan Menteri Besar selaku Presiden tidak akan berdiam diri dengan situasi semasa bola sepak Selangor.