Adam Rosly Nasihat Jamal Henti Pasang Angan Jadi Presiden FAS

Penaung Gabungan Kelab Penyokong Selangor (GABUNGAN), Datuk Adam Rosly menasihatkan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos agar berhenti memasang angan dan cuba menangguk di air keruh dalam kemelut Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Adam berkata tindakan Jamal menawarkan diri sebagai presiden badan induk itu adalah sesuatu yang menghairankan apatah lagi Ketua UMNO Sungai Besar itu tidak pernah mengambil maklum mengenai perkembangan bola sepak Selangor.

“Nasihat saya mudah, sudah-sudahlah memasang angan dan cuba menangguk di air keruh. Kemelut FAS ini tidak wajar dipolitikkan dan usahlah seorang ahli politik picisan seperti beliau menjadikan ini sebagai batu loncatan untuk menjadi popular.

“Tindakan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Amirudin Shari mengumumkan untuk tidak bersama FAS tidaklah bermakna persatuan ini harus dipimpin individu sembarangan dan menjadi alat politik orang lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Adam lagi, keputusan Jamal untuk mencampuri urusan FAS bakal menambahkan lagi huru-hara terhadap kemelut dalam persatuan tersebut.

Malah menurut Adam, kenyataan Jamal untuk menjadikan Pasukan Bola Sepak Selangor setanding dengan Johor Darul Takzim (JDT) adalah sesuatu yang lucu memandangkan kedua-dua pasukan berada pada kelas tersendiri dan era kegemilangan yang berbeza.

“Lagipun mengenang sejarah Sekinchan Ikan Bakar sudah cukup menunjukkan Jamal bukanlah calon sesuai untuk mengemudi FAS ke tahap lebih baik.

“Fahamilah bahawa FAS ini perlu dirombak sepenuhnya bukan sekadar tukar Presiden sahaja.

“Jangan jadikan The Red Giants modal politik dan tempat mengasah bakat badut serta parasit,” katanya lagi.

Semalam Jamal menyerahkan surat rasmi kepada FAS berhubung penawaran dirinya sebagai presiden badan induk itu ketika mengunjungi pejabat persatuan berkenaan di Kelana Jaya.