PKNS FC Berpotensi Jadi Skuad Utama Selangor, Kata Exco Sukan

PKNS FC dilihat lebih berpotensi untuk ditampilkan sebagai skuad utama mewakili Selangor dalam saingan musim ini seandainya kemelut Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) gagal diselesaikan dalam masa terdekat.

Bekas Pengurus Pasukan Bola Sepak Selangor, Amirudin Shari berkata ciri pasukan yang lengkap selain komitmen ditunjukkan PKNS FC menjadi dorongan utama kerajaan Selangor untuk memberi sokongan penuh terhadap pembangunan kelab bola sepak tersebut.

“PKNS FC mempunyai ciri pasukan bola sepak yang lengkap daripada pasukan Liga Super sehingga ke akademi. Kerajaan Negeri juga akan terus melihat apa lagi faktor yang boleh membantu pasukan itu terus membangun,” kata Amirudin selepas Majlis Pelancaran Jersi 2017 dan Bas PKNS FC di Laman PKNS, Shah Alam semalam.

Amiruddin turut menambah bahawa pasukan kelab bola sepak itu sememangnya sesuai untuk menggantikan pasukan bola sepak Selangor memandangkan PKNS FC juga membawa ‘bendera’ Selangor sepanjang musim-musim lepas.

“Ini pasukan Selangor, wakil Selangor kalau masuk pertandingan pun mereka membawa bendera Selangor. Jadi tidak ada masalah,” jawab Amirudin, juga Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor ketika ditanya komitmen kerajaan negeri terhadap PKNS FC.

Kemelut FAS yang berlarutan semenjak Ogos tahun lalu dilihat masih berterusan dengan kenyataan terbaru Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meminta FAS untuk menyelesaikan tunggakan bayaran gaji pemain tanpa berharap bantuan kerajaan negeri.