PKNS FC Rancang Bina Stadium Sendiri

PKNS FC merancang membina stadium sendiri bagi memudahkan pasukan itu mempersiapkan pemainnya menghadapi sebarang perlawanan dan saingan liga pada masa akan datang.

Presidennya, Siti Zubaidah Abdul Jabar berkata tidak mustahil pasukan itu akan memiliki stadium sendiri seiring dengan fokus pasukan itu untuk berkembang menjadi gergasi bola sepak di negara ini.

Walau bagaimanapun keputusan mengenai pembinaan stadium tersebut tidak akan dibuat dalam masa terdekat memandangkan keadaan ekonomi pasukan masih belum stabil, selain memerlukan kelulusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Memang perancangan itu ada, cuma bukan dalam masa terdekat oleh kerana dalam keadaan ekonomi tidak stabil jadi kita lebih mengutamakan perbelanjaan berhemah supaya kita dapat pulangan ke atas pelaburan.

“Walaubagaimana pun pembinaan stadium ini tertakluk kepada kelulusan PKNS kerana kita perlu mendapat kelulusan tapak dan perbelanjaan terlebih dahulu,” katanya.

PKNS FC semalam melancarkan jersi dan bas baru pasukan itu bagi menghadapi musim ini di Laman PKNS, Seksyen 14, Shah Alam.