Menarik
Tarikh Hari Ini
18 October 2017

RM2 Juta Bukan Untuk Bayar Hutang, Kata FAS

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bertegas tidak akan menggunakan wang hasil jualan pemain untuk membayar hutang yang sepatutnya dilangsaikan oleh kerajaan negeri, sebaliknya mendakwa wang tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan operasi pasukan The Red Giants pada musim depan.

Setiausaha Agungnya, Rosman Ibrahim berkata wang berjumlah RM2 juta hasil penjualan Ahmad Hazwan Bakri dan R Gopinathan ke Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan digunakan untuk membayar tunggakan gaji pemain dan bonus memandangkan tanggungjawab tersebut perlu dilunaskan kerajaan negeri seperti dijanjikan.

“Oleh kerana bajet yang dijanjikan adalah untuk musim 2016, kerajaan negeri perlu bertanggungjawab melangsaikan sebarang janji dan bayaran kepada pemain sehingga November 2016,” kata Rosman kepada pihak media.

Tambah Rosman lagi, FAS hanya menerima RM13.8 juta dari RM20 juta peruntuka diluluskan kerajaan negeri untuk kegunaan pengurusan badan induk itu menghadapi Liga Malaysia musim lalu, manakala selebihnya telah disalurkan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) sebanyak RM6.2 juta untuk membayar gaji pemain Liga Super.

Peruntukan diterima FAS itu telah digunakan untuk membayar membayar gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) semua pasukan (Liga Super, Piala Presiden, Piala Belia, skuad wanita dan kakitangan FAS).

Tambah Rosman lagi, FAS telah memaklumkan kepada semua pemain bahawa badan induk itu akan bertanggungjawab terhadap gaji dan kebajikan mereka bermula Disember tahun lalu sehingga November tahun ini, sebelum pasukan Selangor diswastakan sepenuhnya pada tahun 2018.