Saya Dipecat Secara Tidak Adil, Kata Zainal Abidin

Kemelut Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semakin meruncing selepas bekas Ketua Jurulatih Red Giants, Zainal Abidin Hassan hari ini mendedahkan dia dipecat secara tidak adil oleh Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melalui sistem mesej singkat (SMS) kepada Penolong Pengurus, Noor Hi­sham Mohd. Ghouth.

[one_half][quote]Secara jujur walaupun saya telah dipecat namun saya tidak menerima surat rasmi yang mempu­nyai logo FAS menyatakan saya dipecat – Zainal Abidin Hassan[/quote][/one_half]

Zainal berkata sehingga kini dia belum menerima sebarang surat rasmi dari badan induk itu mengenai pemecatannya pada Ogos tahun lalu menyebabkan dia seolah-olah digantung tidak bertali selain tidak boleh melatih pasukan lain kerana secara dasarnya masih memiliki kontrak bersama FAS.

Bekas pemain pasukan Selangor itu mendakwa pemecatannya dilakukan secara tidak professional oleh Mohamed Azmi dan pengurus pasukan ketika itu, Amirudin Shari.

Menurut Zainal, keputusannya untuk mendedahkan hal tersebut kepada umum hanyalah demi memperjuangkan haknya sebagai bekas jurulatih Selangor, selain memastikan dia boleh mencari rezeki di tempat lain.

“Saya ha­nya mahu per­­­­­juangkan hak sebagai be­­kas jurula­tih Se­langor seperti yang dimuktamatkan dalam kontrak. Walaupun kontrak saya sehingga bulan November 2017 iaitu selama dua tahun, tetapi ia ditamatkan pada Ogos, 2016.

“Memang satu Malaysia tahu saya dipecat, apa yang saya mahu surat pemecatan itu supaya saya ada bukti saya dipecat dan saya boleh membuat langkah kedua.

“Secara jujur walaupun saya telah dipecat namun saya tidak menerima surat rasmi yang mempu­nyai logo FAS menyatakan saya dipecat,” katanya melalui sidang akhbar di kediamannya di Shah Alam.

Tambah Zainal lagi, dia menerima keputusan pemecatan tersebut tetapi berharap agar FAS mengeluarkan surat rasmi mengenai keputusan tersebut.

Selain tuntutan mengenai surat rasmi pemecatannya, Zainal turut mendesak badan induk tersebut melunaskan baki bayaran gajinya untuk bulan November dan Disember tahun lalu, selain juga pampasan baki kontraknya sekali gus selepas dipecat serta-merta.

“Sebagai jurulatih profesional, saya me­nerima pemecatan saya tetapi (FAS) berjanji akan melunaskan baki gaji saya seperti yang termaktub dalam kontrak selepas rayuan saya ditolak,” kata Zainal lagi.

Zainal dilantik sebagai Ketua Jurulatih Selangor awal musim Liga Malaysia 2016 bagi menggantikan Mehmet Durakovic, namun dipecat pada 6 Ogos sejurus selepas Selangor tewas 1-0 kepada Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman.