Keputusan Seri, PKNS FC Puas Hati Ikat Kedah

Biarpun mencatatkan keputusan seri 1-1 di Stadium Darul Aman, malam ini, PKNS FC nyata berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan mereka menentang Kedah.

Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata satu mata yang diperolehi pasukan itu malam tadi dianggap cukup berharga dengan keadaan padang yang licin, selain beberapa insiden terjahan yang berlaku antara pemain kedua-dua pasukan.

“Kita merasakan permainan malam ini seperti yang kita tahu padang licin, berlaku sedikit pelanggaran maka ia dilihat sedikit kontroversi.

“Bagaimanapun kami berpuas hati dengan satu mata dan berharap momentum ini dapat dibawa ke perlawanan seterusnya menentang JDT,” katanya.

Kata Mahfizul, jurulatih, E Elavarasan tidak dapat hadir dalam sidang media tersebut kerana menghadapi sakit tekak sejak dua hari lalu.

Namun Elavarasan melahirkan perasaan puas hati dengan persembahan pasukan yang mengikut taktikal dirancang selain pemain melakukan tanggungjawab dengan baik.

Sementara bagi pengendali Kedah, Tan Cheng Ho, keputusan seri semalam sedikit mengecewakan pasukan namun beliau lega kerana mereka mampu mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

Tanpa berselindung beliau mengkritik cara perlawanan dikendalikan terutama keputusan terhadap penyerang PKNS FC, Patrick Ronaldinho Wleh kerana dua pemain pertahanan tengahnya mengalami kecederaan selain mengharapkan jentera serangan beraksi lebih baik selepas ini.

“Kita sedikit kecewa dengan keputusan tetapi lega kerana masih kekal dengan rekod tanpa kalah.

“Ini bukan perlawanan yang mudah seperti yang saya katakan sebelum ini kerana PKNS FC mempunyai serangan balas yang bahaya dan berjaya menjaringkan gol pertama.

“Nampak perlawanan ini sedikit kontroversi dari segi sentuhan fizikal dan pengadil perlu mengkaji pemain nombor empat PKNS FC (Patrick Ronaldinho) kerana dua pertahanan tengah saya koyak dahi,” katanya.

Kekecewaan sama turut dirasakan dua pemain import Kedah, Zachary Michael Anderson dan Liridon dan Liridon Krasniq apabila mereka kelihatan begitu beremosi ketika sidang media.