Nicol Mara ke Suku Akhir Kejohanan Skuasy Wanita Dunia

Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David meneruskan rentak cemerlang apabila melangkah ke suku akhir Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2017 yang berlangsung di Pusat Skuasy El Gouna di Mesir, hari ini.

Nicol, pemain pilihan keenam hanya mengambil masa 37 minit untuk menumpaskan pemain Hong Kong, Annie Au yang juga pilihan ke-10 dengan 12-10, 11-4 dan 13-11 pada pusingan kedua menurut laman web kejohanan: www.elgounasquashopen.com.

Pemain kelahiran Pulau Pinang yang mengintai gelaran kesembilan dunia akan berdepan sama ada dua pemain Mesir — pilihan keempat, Nouran Gohar atau pilihan ke-11, Nour El Tayeb yang akan bertarung dalam satu lagi aksi pusingan kedua, lewat hari ini.

Sebagai rekod, Nicol, 33, meraih kejuaraan dunia sebanyak lapan kali iaitu pada 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2014. – BERNAMA