Real Madrid Rangkul Trofi Liga Juara-Juara, Tewaskan Juventus 4-1

Dua jaringan Cristiano Ronaldo memastikan Real Madrid berjaya merangkul gelaran ke-12 Eropah selepas menewaskan Juventus 4-1 pada pertembungan akhir Liga Juara-Juara di Stadium Millennium, Cardiff sebentar tadi.

Ronaldo membuka tirai jaringan pada minit ke-20 separuh masa pertama melalui hantaran cantik Daniel Carvajal untuk meletakkan Real pada di depan.

Namun jaringan tersebut disamakan Juventus tujuh minit kemudian, melalui ledakan Mario Mandzukic menembusi gawang Real dengan sepakan gunting pada minit ke-27 berpunca hantaran Gonzalo Higuain.

Ketika perlawanan dilihat semakin seimbang pada babak pertama, pemain Brazil, Casemiro meletakkan Real kembali di depan pada minit ke-61 menerusi rembatan jarak jauh menarik menewaskan Gianluigi Buffon.

Real mengukuhkan penguasaan permainan melalui jaringan kedua Ronaldo, tiga minit kemudian daripada hantaran bijak Luka Modric yang gagal dikekang pertahanan Juventus untuk Real selesa mendahului 3-1.

Permainan Juventus dilihat semakin hilang rentak apabila terpaksa beraksi sepuluh orang selepas pemain gantian, Juan Cuadrado dilayangkan kad kuning kedua atas kekasaran terhadap Ronaldo pada minit ke-72.

Peluang itu tidak disia-siakan Blancos yang menjulang trofi La Liga musim ini untuk menambah jaringan menerusi pemain gantian, Marco Asensio pada minit ke-90.