Tewas Kepada Ceres Negros, JDT Terkandas Separuh Akhir Piala AFC

Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) terkandas di separuh akhir Piala AFC selepas tewas 2-1 kepada Ceres Negros pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Panaad Park di Bacolod, Filipina.

Walaupun terikat secara agregat 4-4, kelab Filipina itu mara ke final zon ASEAN berdasarkan jaringan di tempat lawan ketika tewas 2-3 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada perlawanan pertama.

Ceres Negros mendahului babak pertama menerusi jaringan Kota Kawase pada minit ke-26 yang bermula dari sepakan percuma.

Kawase yang tidak dikawal rapi hanya perlu menghulurkan kaki untuk menguis bola melepas penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Bersambung babak kedua, JDT mula meningkatkan rentak permainan dan menyamakan kedudukan menerusi Gabriel Guerra pada minit ke-65.

Ketika permainan seakan berpihak kepada JDT, insiden minit pertama masa kecederaan mengubah nasib kedua-dua pasukan apabila Ceres Negros dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil selepas Aidil Zafuan Abd Radzak dipersalahkan kerana menarik pemain lawan.

Walaupun cuba dibantah pemain JDT, terutamanya penjaga gol, Farizal yang seakan enggan menerima keputusan berkenaan, Fernando Rodriguez tampil menyempurnakan sepakan untuk meletakkan tuan rumah di depan.

Keadaan semakin hangat apabila Farizal gagal mengawal kemarahan dan menolak pengadil serta penjaga garisan sehingga dibuang padang. Ceres Negros terus mempertahankan kedudukan sehingga tamat permainan untuk menyingkirkan JDT.