Tiada Tangan Ghaib Dalam Isu Permohonan FAS, Kata Amirudin

Kerajaan Selangor menafikan sebarang campur tangan dalam urusan permohonan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk menggunakan Stadium Shah Alam bagi skuad kelolaan persatuan itu, sebaliknya keputusan itu dibuat oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Amirudin Shari berkata keputusan MBSA untuk berkaitan permohonan FAS menggunakan Stadium Shah Alam bagi skuad Red Giants tidak dirujuk terlebih dahulu kepada kerajaan negeri.

Sebaliknya Amirudin percaya keputusan itu dibuat MBSA selaras dengan pendirian kerajaan negeri yang tidak menjalinkan sebarang kerjasama strategik dengan FAS lagi dan tidak timbul isu “tangan ghaib” seperti didakwa badan bola sepak itu.

“Tidak timbul isu tangan ghaib kerana saya tidak dirujuk dalam isu ini. Namun keputusan MBSA selaras dengan pendirian kerajaan negeri sebelum ini,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata pihaknya bersedia untuk membantu dengan permohonan tersebut seandainya wujud keperluan mendesak.

Tambahnya lagi, sehingga kini skuad Gergasi Merah Kuning itu masih dibenarkan bermain di Stadium Selayang sementara menunggu tindakan FAS untuk mencari stadium lebih baik.

“Saya melihat mereka masih bermain di Selayang dan itu masih di bawah Kerajaan Negeri. Setakat ini tiada masalah kerana kita membenarkannya sebelum mereka mencari stadium yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, FAS mungkin melupakan hasrat bermain di Stadium Shah Alam musim ini ekoran MBSA masih belum memberi kata putus.