Malaysia Tunggu Laporan Rasmi Atlet Langgar Larangan Keluar Malam

Chef-de-mission (CDM) Sukan SEA negara, Datuk Marina Chin masih menunggu laporan rasmi atlet gagal mematuhi larangan keluar selepas 11.30 malam dari penginapan rasmi kontinjen negara.

Beliau berkata, keputusan mengenai tindakan lanjut, iaitu sama ada memberi amaran atau mengambil tindakan lain akan diputuskan, selepas berbincang dengan persatuan sukan terlibat.

“Tindakan akan diambil selepas mengambil kira jenis kesalahan serta laporan dan cadangan daripada pihak persatuan. Biasanya untuk kali pertama, kita bagi amaran, tetapi jika kesilapan berulang, kita akan ambil tindakan disiplin.

“Saya belum mendapat laporan rasmi, jadi saya rasa tidak adil untuk mengulas lanjut,” katanya selepas melawat latihan skuad ski air negara di Kompleks Sukan Air Putrajaya, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo mengesahkan 2 atlet negara daripada skuad futsal dan badminton melanggar perintah berkurung di Hotel Renaissance Kuala Lumpur yang menjadi penginapan rasmi kontinjen negara.

Lebih 700 atlet berada di hotel berkenaan untuk kem persiapan terakhir kontinjen negara menjelang Sukan SEA dan sepanjang tempoh penginapan di situ, termasuk ketika temasya itu bermula 19 hingga 30 Ogos ini, mereka tidak dibenarkan keluar selepas 11.30 malam.

Marina yang juga bekas atlet pernah merangkul 7 pingat emas dalam Sukan SEA mengingatkan semua atlet menjaga disiplin dan mematuhi peraturan setiap masa.

“Disiplin sangat penting dan perkara begini tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi selepas bertungkus-lumus selama ini. Atlet perlu rehat yang cukup, fokus dan elakkan perkara boleh mengganggu emosi,” katanya.

Mengulas skuad ski air negara, beliau berkata, skuad itu menunjukkan semangat juang tinggi dan yakin mereka mampu menunjukkan prestasi baik pada temasya dwi tahunan itu nanti. – BERNAMA