Larian Baton Komanwel Gold Coast 2018 Di Kuala Lumpur Meriah

Hampir 300 peserta termasuk pemenang pingat Sukan Komanwel terdahulu, menyertai Larian Baton Sukan Komanwel Gold Coast 2018 (GC2018) yang berlangsung dalam suasana meriah di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur, hari ini.

Larian sejauh 1.3 kilometer mengelilingi stadium itu bermula di Dataran Keris dan melibatkan lima kumpulan antaranya badan induk sukan negara, delegasi Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia dan pemenang pingat terdahulu serta atlet kebangsaan.

Antara individu yang berlari membawa baton berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara Dr Khairi Zawi, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan wakil Persekutuan Sukan Komanwel Datuk Dr M. Jegathesan.

Dalam sidang media selepas larian tersebut, Presiden Persekutuan Sukan Komanwel Malaysia Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar menyifatkan larian tersebut begitu istimewa disebabkan perayaan Deepavali yang akan disambut esok.

​​​​”Ini merupakan satu daripada 70 atau lebih pusingan larian baton dan telah diadakan banyak kali di sini,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Rod Smith optimis kontinjen Malaysia mampu memberikan saingan sengit pada temasya sukan berkenaan berdasarkan pencapaian membanggakan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos lepas.

“Kami tahu Malaysia pasukan yang kuat kerana kami lihat Malaysia berprestasi cemerlang pada Sukan SEA 2017 dan kami tahu mereka akan jadi antara pesaing yang kuat,” katanya.

Selepas Malaysia, baton yang dilengkapi sistem pengesan kedudukan global (GPS) yang membolehkan pengesanan baton 24 jam sehari menerusi Internet sepanjang menjelajah seluruh dunia itu akan berlepas ke destinasi seterusnya iaitu Brunei.

Baton tersebut akan menjelajah sejauh 230,000 km selama 388 hari melalui 70 negara Komanwel sebelum tiba di Australia, di mana mesej Ratu Elizabeth II tersebut akan dibaca pada majlis pembukaan rasmi CG2018 pada 4 April, tahun depan.

Sukan Komanwel 2018 akan berlangsung di Gold Coast, Queensland, Australia, bermula 4 hingga 18 April. – BERNAMA