JDT Tamat Kemarau 26 Tahun Piala Malaysia, Benam Kedah 2-0

Pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan kemarau 26 tahun dengan menjadi juara Piala Malaysia tahun ini apabila berjaya menundukkan Kedah 2-0 dalam perlawanan akhir malam ini

Dalam perlawanan dramatik berlangsung di Stadium Shah Slam, juara bertahan skuad Lang Merah gagal mengulangi kejayaan menumbangkan pasukan Selangor tahun lalu, apabila terpaksa akur dengan dua jaringan oleh pasukan kelab Harimau Selatan itu.

JDT memulakan rentak perlawan dengan serangan agresif selepas memperolehi gol pertama seawal minit ke-2 hasil tandukan oleh pemain pertahanannya, Mohamad Aidil Zafuan Razak.

Apabila babak kedua bermula kembali, JDT menggandakan asakan dan gawang Kedah dirobek sekali lagi pada minit ke-62 menerusi jaringan pemain import dari Argentina, Gonzalo Cabrera.

Sebaik wisel penamat masa tambahan 4 minit ditiupkan pengadil perlawanan berkenaan, keputusan penuh menyaksikan JDT kekal dua gol berbanding Kedah pula pulang hampa tanpa jaringan.

Gelaran terkini itu melengkapkan kabinet trofi JDT sejak ditubuh pada 2013 selepas rangkul juara Liga Super 2014, 2015, 2016 dan 2017, Piala FA 2016, Piala Sumbangsih 2015 dan 2016 serta Piala AFC 2015.

Final yang disaksikan 80,000 penyokong ibarat pertemuan buku dengan ruas apabila JDT mahu memburu gelaran kedua musim ini selepas meraih kejuaraan Liga Super kali keempat berturut-turut.

Helang Merah pula cuba mengintai trofi ketiga selepas menewaskan JDT bagi misi perebutan Piala Sumbangsih sebelum menjulang Piala FA dengan mengecewakan Pahang 3-2 pada final.

Bagaimanapun Kedah yang dibimbing Nidzam Adzha Yusoff tersentak dengan gol seawal minit ketiga menerusi tandukan pemain pertahanan Aidil berikutan sepakan sudut kapten Safiq Rahim.

Strategi jurulatih JDT, Ulisses Morais memasukkan Hazwan Bakri mengambil tempat penjaring terbanyak Liga Super, Mohammed Ghaddar ternyata memberi impak besar.

Hazwan, wira Piala Malaysia Selangor pada 2015, mencipta peluang kepada Natxo Insa dan Gabriel Guerra namun ketangkasan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim berjaya menyelamatkan keadaan.

Satu-satunya peluang terbaik dicipta Kedah hadir pada minit ke-26 namun tolakan penyerang Ken Ilso selepas penjaga gol Izham Tarmizi Roslan menerpa keluar berjaya dikeluarkan S Kunanlan.

Kedah yang memburu kejuaraan keenam selepas 1990, 1993, 2007, 2008 dan 2016 mula asak pada babak kedua dan hampir menyamakan kedudukan namun tandukan Baddrol Bakhtiar sekadar singgah di palang.

Namun anak buah Morais menyentap semangat lawan dengan gol kedua pada minit ke-63 apabila pemain import Cabrera yang menerima hantara Hazwan melepaskan sepakan menewaskan Ifwat.

Tuah ternyata bukan milik Kedah apabila tandukan Baddrol pada minit ke-67 terkena tiang gawang JDT dan terus gagal mencari gol ketika masa kecederaan tambahan selama empat minit lagi.

Kemenangan sulung ini beri kegembiraan buat JDT yang kecewa tewas pada final 2014 kepada Pahang menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 selepas aksi terikat 2-2.