Vingada Akui Pemain Malaysia Tertekan Selepas Korea Utara Jaringkan Gol Pertama

Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Nelo Vingada tidak menyembunyikan kekecewaannya apabila anak buahnya tewas mudah 1-4 kepada Korea Utara dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia di Stadium i-mobile, malam tadi.

Jurulatih dari Portugal itu menyalahkan gol pertama Korea Utara, satu sepakan penalti yang diberikan pengadil selepas bola terkena tangan ketua pasukan Fadhli Shas, sebagai salah satu punca kekalahan Harimau Malaya.

“Ketinggalan satu gol di awal permainan adalah tidak bagus kerana ia menggoyahkan keyakinan pemain dan ini dapat dilihat pada pemain,” beliau memberitahu satu sidang media selepas perlawanan itu di stadium itu di Buriram.

Menurut beliau anak buahnya berada dalam keadaan tertekan apabila Korea Utara yang semakin berani selepas mendapat gol sulungnya dan meneruskan tekanan dan kesungguhan mereka menghasilkan gol kedua.

Vingada yang kekal optimis dengan kemampuan pemainnya berkata, keadaan menjadi lebih sukar apabila Korea Utara mendapat gol ketiga 2 minit selepas rehat, membuatkan usaha skuad negara mendapatkan kembali rentak permainan menjadi sukar.

“Keadaan menjadi lebih sukar selepas gol ketiga,” katanya sambil menambah kekuatan fizikal pemain Korea Utara juga terserlah apabila mereka menguasai kebanyakan bola tinggi,” katanya.

Sementara itu, Jurulatih Korea Utara Jorn Andersen berkata keputusan malam ini membuktikan pasukan yang lebih baik menang dengan pemain beliau menguasai segenap aspek perlawanan sepanjang 90 minit itu.

“Sudah tentu adalah bagus untuk jadi yang pertama mendapat gol, tetapi kami menguasai keseluruhan permainan dan membuktikan kami adalah pasukan yang lebih baik di sepanjang perlawanan,” katanya. – BERNAMA