Anina Tidak Ada Lokus Standi Untuk Berdebat Dengan Saya, Kata Muhyiddin

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan melayan cabaran bekas Ketua Srikandi PPBM, Anina Saadudin untuk berdebat dengannya berkenaan isu semasa dan beranggapan wanita tersebut tidak mempunyai locus standi.

Bagaimanapun Muhyiddin menghormati keputusan Anina untuk keluar dari parti pimpinannya dan menyifatkan bekas Ketua Srikandi PPBM tidak lagi mempunyai keperluan untuk mengadakan debat dengannya.

“Tak payah. Dia tidak lagi mempunyai locus standi,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai peletakan jawatan dan keputusan keluar parti yang dibuat Anina dan bekas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman, Muhyiddin mendakwa tidak terkejut dengan keputusan berkenaan.

Kata Muhyiddin, biarpun keputusan kedua tokoh PPBM tersebut menjadi cabaran kepada partinya namun beliau menafikan bahawa wujud tekanan untuk bekas pemimpin berkenaan bertindak sedemikian.

“Mereka memutuskan sendiri. Mereka tidak dipaksa untuk berbuat demikian dan mereka tidak dipecat,” kata beliau kepada pemberita semasa forum di Sri Rampai, Kuala Lumpur malam tadi.

Tambah Muhyiddin, keputusan Anina dan Hamidah untuk keluar parti tidak akan menganggu usaha PPBM menawan Putrajaya, bersama parti komponen Pakatan Harapan yang lain.

Malah dakwa Muhyiddin, tindakan kedua bekas pimpinan PPBM itu mengambarkan situasi semasa dalam PPBM apabila sesetengah individu dilihat masih gagal memahami makna sebenar perjuangan dalam parti.

Anina dalam sidang media diadakan semalam berkata keputusannya untuk keluar dari parti itu kerana terlalu kecewa dengan pucuk pimpinan yang dianggap hanya dijadikan medan untuk mencatur kepentingan individu tertentu.

“PPBM tidak lagi mendokong prinsip keadilan, ketelusan dan integriti dalam pentadbiran parti. Fitnah menjadi asas membuat keputusan dan secara tidak langsung dihalalkan untuk kepentingan politik yang kononnya untuk kebaikan rakyat.

“Parti ini sedang ditadbir dengan buruk, namun berselindung di sebalik nama negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Jika bersuara lantang, maka hukuman bunuh ke atasnya akan dilakukan hanya dalam satu hembusan nafas. Bagaikan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) saya dihukum tanpa dibicarakan dan tiada hitam putih dikeluarkan untuk hukuman politik dalam PPBM,” katanya merujuk keputusan PPBM melucutkan jawatannya sebagai ketua Srikandi PPBM Disember tahun lalu.

Dalam sidang media sama, Anina mendakwa akan menubuhkan sebuah NGO untuk mencabar Muhyiddin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berdebat dengannya mengenai isu-isu semasa apabila ia didaftarkan.

Tambahnya lagi, NGO tersebut kini sedang menunggu kelulusan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan akan memberi tumpuan kepada perkara yang berkaitan dengan keadaan ekonomi rakyat dan politik.