Umno Gunakan Isu Pembatalan Rumah SelangorKu Demi Tutupi Kelemahan Sendiri, Kata Iskandar

Tindakan Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar yang menyelar pembatalan sembilan projek Rumah SelangorKu disifatkan sebagai serangan politik untuk menutupi kelemahan Umno-Barisan Nasional yang semakin kurang mendapat sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata tindakan pemimpin Umno itu jelas bermotifkan politik dan menunjukkan bahawa kepimpinan parti tersebut gagal memahami proses pembinaan projek perumahan.

Kata Iskandar, pembatalan sembilan projek tersebut membuktikan bahawa Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah SelangorKu menjalankan tanggungjawab memantau dan mengambil tindakan terhadap sewajarnya terhadap pemaju sebaik mengetahui wujud kelewatan.

“Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah SelangorKu sentiasa memantau pemaju yang mendapat kelulusan membina Rumah SelangorKu dan memberi peringatan dan notis apabila terdapat projek yang lewat.

“Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) juga bersedia membantu pemaju yang menghadapi masalah dengan jabatan dan agensi kerajaan. Hanya apabila tidak ada tindakan daripada pemaju, kelulusan akan dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Iskandar, sebaik sebarang kelulusan pembinaan Rumah SelangorKu dibatalkan, pemaju berkenaan akan dikenakan tindakan termasuk tidak boleh memulakan sebarang projek pembinaan rumah dengan harga bebas.

“Oleh yang demikian, pemaju yang dibatalkan kelulusan Rumah SelangorKu perlu mendapatkan kelulusan semula dan memulakan pembinaan Rumah SelangorKu sebelum boleh membina rumah harga bebas.

“Ini berbeza dengan zaman BN, di mana pemaju boleh membina rumah harga bebas tanpa perlu membina rumah mampu milik kos rendah terlebih dahulu. Akibatnya terdapat rumah tersebut yang tidak dibina hingga ke hari ini.

“Contohnya, menurut rekod LPHS untuk dua kawasan pihak berkuasa tempatan sahaja, sebanyak 4,638 rumah kos rendah yang diluluskan di zaman BN belum dibina. Majlis Perbandaran Subang Jaya 1,755 unit dan Majlis Perbandaran Kajang 2,883 unit.”

Kenyataan Iskandar itu sebagai mengulas kritikan Noh, semalam, yang menggesa kerajaan Selangor untuk berhenti berdolak-dalik dan menjelaskan mengenai punca pembatalan sembilan projek Rumah SelangorKu dengan kadar segera.

Menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mendakwa kenyataan dikeluarkan Iskandar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercanggah dalam isu pembatalan projek berkenaan.