Riwayat Hantu 1MDB

Alkisah disebutkan di dalam sebuah negara bernama Semenanjung Tanah Melayu, pada zaman moden yang menghampiri tahun 2020, telah masyhurlah sebuah cerita misteri yang diberi gelar 1MDB; satu angka dan tiga lagi perkataan berbahasa Inggeris.

Ia berkembang dari mulut ke mulut, dipertuturkan dari warga tua kepada kanak-kanak, daripada orang kaya kepada orang miskin, daripada orang bandar kepada orang kampung, daripada orang bodoh kepada orang yang berakal, tidak mengira jantina, bangsa dan agama, ia sungguh-sungguh menghantui dan menarik perhatian ramai.

Apakah cerita hantu ini sebenarnya?

Ganjil cerita ini sebenarnya. Bukan bomoh, dukun, pawang atau ahli sihir yang mula meriwayatkan cerita hantu ini. Ia seperti muncul begitu tiba-tiba sahaja. Dikatakan ia ditemui oleh seorang bekas politikus tua yang pernah dibenci rakyat pada era sebelum tahun millineum. Di belakang politikus tua itu terdapat para kapitalis bertaraf billionar, politikus desperado, aktivis-aktivis NGO yang tidak diketahui jantan atau betinanya, agamawan lurus bendul dan anak-anak muda yang emosional dan frustasi, yang cuba mencari populariti di media-media sosial.

Merekalah yang kononnya mula-mula menemui hantu ini dan menyebarkan kewujudannya kepada orang ramai, iaitu cerita kononnya si Maharaja membela hantu yang berbahaya, hantu yang sedang dan akan menghisap darah seluruh rakyat jelata jika dibiarkan bebas.

Portal-portal berita beraliran pembangkang saban hari menghidupkan gosip berkenaan hantu ini. Ia menjadi berita utama yang ditulis dengan tajuk-tajuk sensasi, yang kadang-kadang tidak menepati isinya.

Apakah ciri-ciri hantu itu, tidaklah dijelaskan dengan bahasa umum yang mampu difahami oleh rakyat jelata. Jika pocong tubuhnya berbalut kain kapan, pontianak rambutnya panjang menggerbang, toyol tubuhnya kecil berbogel, jerangkung badannya kurus kering, langsuir boleh terbang, tetapi hantu ini tidak pula dideskripsikan bagaimana fizikalnya.

Ia cuma dijelaskan dengan bahasa matematik dengan angka berbillion, merentasi benua dan melibatkan ramai individu berprofil tinggi seperti artis-artis Hollywood. Rakyat biasa memang tidak akan dapat memahaminya, dan yang tersebar dalam kalangan umum hanyalah tekaan dan andaian. Tetapi, apa yang berbekas dalam minda rakyat adalah ketakutan dan perasaan ngeri. Rakyat telah berjaya ditakutkan dengan hantu ini tanpa mengetahui apakah sebenarnya hantu ini.

Lucu, bukan? Tetapi, itulah yang terjadi ketika itu.

Kewujudan hantu ini benar-benar berjaya dihidupkan dalam pemikiran masyarakat. Hantu ini benar-benar berjaya menakutkan rakyat. Malangnya tidak ada seorang pun yang pernah menemui atau terserempak dengan hantu ini di mana-mana.

Apabila kanak-kanak menangis pada senja hari, orang-orang tua akan berkata itu adalah tanda-tanda gangguan halus hantu tadi. Semuanya dikaitkan dengan hantu tadi. Ada orang yang terpijak tahi kucing pun, dia akan memaki hantu tadi kerana mendakwa hantu itulah yang menjadi penyebab sialnya. Anda bayangkan sendiri bagaimana cerita hantu ini benar-benar berpengaruh dalam masyarakat ketika itu. Segala nasib buruk yang menimpa seseorang akan dikaitkan dengan hantu ini.

Tentu kelakar jika anda fikir dengan akal waras, seorang lelaki yang tercirit dalam seluar kerana termakan lauk basi di bazar Ramadan pun, dia akan menyalahkan hantu tersebut. Bahkan banyak lagi kes-kes lain yang cuba dikaitkan dengan racauan hantu ini.

Anda jangan ketawa, kerana hal ini benar-benar terjadi ketika itu.

Apakah yang menakutkan berkenaan hantu ini sebenarnya? Malangnya tiada siapa yang boleh mengesahkan keberadaan hantu ini jika ditanya pada setiap orang ketika itu. Cuma kehadirannya seperti momok. Orang ramai menjadi takut, fobia dan trauma. Kononnya hantu itu seperti toyol yang mencuri wang, atau seperti pelesit yang menghisap darah, juga pelbagai andaian yang meremangkan bulu roma lagi. Kadang-kadang ia dianggap seperti orang minyak.

Setiap hari Rabu, iaitu pada malamnya, rakyat akan menunggu pengumuman harga petrol. Jika harganya naik, mereka akan menyalahkan hantu tadi. Dan jika harganya turun mereka akan berdiam diri dan menganggap hantu itu tidak sihat dan tidur sepanjang minggu itu.

Riwayat hantu ini juga tidak dapat difahami secara terperinci kerana periwayatnya selalu menukar watak, memusing-musing fakta dan mengubah jalan cerita menjadi berliku-liku sehingga ramai orang tidak mahu lagi mengkaji kebenarannya, melainkan hanya mempercayai kewujudannya.

Kononnya negara ini akan digadai dan terjual kepada orang asing kerana kos membela hantu ini oleh si maharaja sangat tinggi. Kononnya makan dan minumnya untuk sehari semalam sahaja menelan belanja billion ringgit. Kita tidak dapat membayangkan bagaimana besar dan luasnya mulut dan perut hantu tersebut jika perkara ini adalah benar.

Kononnya kenaikan harga-harga bawang, kerepek pisang, kangkung, karipap. ikan kembung, gula, petrol, popcorn dan segala macam keperluan rakyat lagi adalah kerana rasukan hantu ini.

Di mana-mana sahaja orang bercakap tentangnya.

Orang ramai tidak tahu atau ambil kisah bagaimana hantu ini berpuaka dan mampu menyebabkan semua petaka ini berlaku. Mereka hanya mempercayainya secara membuta-tuli. Walaupun dunia sudah moden, cara berfikir masyarakat masih lagi kolot. Mereka lebih bertindak mengikut persepsi dan sentimen yang berlegar dalam masyarakat
Berbalik kepada cerita kumpulan yang menyebar cerita ini, mereka akhirnya membentuk satu pakatan untuk melakukan menghapuskan hantu ini. Mereka menubuhkan satu blok parti pembangkang untuk menjatuhkan si maharaja kerana mendakwa sudah tidak tahan lagi setiap hari diganggu oleh hantu yang kononnya dibela oleh beliau.

Begitulah kisahnya.

Ketika cerita ini ditulis pada tahun 2050, dunia sudah makin maju, banyak mitos lama sudah dihapuskan, dan generasi ketika ini mulai tertanya-tanya apa sebenarnya hantu 1MDB ini. Mereka mengorek semula kisah hantu ini.
Sejarawan-sejarawan moden mula membongkar kisah ini.

Kesimpulan yang ditemui amatlah memeranjat dan menakjubkan semua. Cerita kewujudan hantu itu hanyalah mitos yang dicipta oleh politikus tua, dan dibantu oleh kumpulan yang telah disebutkan tadi..

Faktanya, 1MDB telah dijadikan hantu untuk menimbulkan ketakutan dan kebencian rakyat kepada si maharaja yang memerintah ketika itu. Apa yang terjadi sebenarnya, politikus tua tadi telah berasa tergugat dengan pentadbiran baru negara di bawah si maharaja yang cuba menghapuskan penguasaan ekonomi para kapitalis yang dinaungi oleh beliau.

Maka mereka telah merancang untuk mencipta satu hantu, dan dengan menyatukan ketakutan dan kebencian rakyat, mereka bertekad menjatuhkan kerajaan pimpinan si maharaja untuk mengambil alih penguasaan ekonomi negara. Merekalah yang mengulang-ngulang cerita hantu 1MDB ini, dengan angka-angka billion yang tidak terkira oleh rakyat jelata, sehinggalah ia dipercayai benar.

Apa yang sebenarnya menghisap darah rakyat bukanlah hantu 1MDB, tetapi politikus tua dan para kapitalis. Merekalah yang sekian lama menghisap darah rakyat melalui dasar penswastaan negara. Apa yang mereka dakwa dilakukan oleh si maharaja adalah apa yang sebenarnya yang mereka sendiri lakukan.

Kerana tidak dapat lagi memerah keringat rakyat melalui kontrak-kontrak dan perjanjian perniagaan yang tidak adil kepada negara dan rakyat, mereka mencipta sejenis mitos moden dalam masyarakat. Itulah kisah sebenarnya.
Seperti yang telah tercatat dalam sejarah dan diketahui umum, gerakan yang menyebar kisah hantu ini telah gagal. Perihal kegagalan gerakan mereka ini akan diceritakan dalam episod yang lain.

Sekianlah, kisah hantu 1MDB.