Juara Demokrasi Liberal Malaysia

TIDAK ada definisi demokrasi yang tuntas. Daripada sejarah asalnya demokrasi bermakna pemerintahan rakyat melalui pemimpin yang dipilih rakyat. Dengan itu pada satu ekstrem, pilihanraya untuk memilih pemimpin negara sudah cukup untuk mengangkat sesebuah negara itu sebagai demokratik.

Namun pada satu ekstrem yang lain, memberi ruang pada kumpulan nudis untuk beramai-ramai telanjang bogel, sebagaimana diadakan di Syndney Australia, diangkat sebagai amalan demokratik martabat tinggi (kononnya) yang diistilahkan sebagai demokrasi liberal.

Perhimpunan bogel di Syndney

Di Swiszeland pula demokrasi hebat ini pernah ditandai oleh ‘Needle Park’ di Zurich di mana penagih dadah dibenarkan oleh pemerintah untuk melampiaskan ketagihan mereka, dan pembekal dadah pula bebas berurusniaga dengan mangsa dadah di situ. Needle Park atau Platzspitz menjadi tempat bebas membolok dadah terbesar di Eropah. Itupun belum lagi kita bicarakan Pesta LGBT terbesar dunia di Madrid, Spanyol.

Namun di Filipina apabila Presiden Rodrigo Duterte mengambil tindakan tegas sehingga membawa kepada hukuman mati mandatori terhadap sesiapa yang terlibat dengan pengedaran dadah, tidak terkecuali pemimpin pilihan rakyat, ada pula penganalisis demokrasi yang cuba meletakkan demokrasi Filipina sebagai hampir menemui ajal. Namun daripada bancian yang dijalankan 80 peratus rakyat Filipina berpuas hati dengan tahap demokrasi negera mereka.

Demokrasi liberal sebagaimana yang disanjung oleh blok Barat lebih lewah mengangkat nilai-nilai individual daripada nilai-nilai kolektif masyarakat. Dengan itu kita lihat pada hari ini terdapat banyak kegenjotan amalan demokrasi ala Barat yang terkeluar daripada prinsip ‘pemerintahan rakyat, untuk rakyat dan oleh rakyat’ kerana kata kunci rakyat seharusnya mengangkat konsep kolektif itu sendiri.

Penanalisis demokrasi, Benjamin Barber, mendakwa “Demokrasi liberal bertunjangkan premis politik yang amat bebas, tetapi hakikatnya secara dasarnya ia tidak demokratik. Tumpuannya yang ekstrem terhadap kehendak dan tuntutan individu telah melemahkan amalan demokrasi itu sendiri.”

Daripada spektrum yang sedemikian demokrasi dilihat sebagai suatu cara pemerintahan rakyat yang ada tatatingkatnya serta darjah martabatnya.

Menurut seorang lagi penganalisis demokrasi, Iris Marion Young, “Kebanyakan negara sedikit-sebanyak mengamalkan demokrasi. Demokrasi bukanlah mutlak tetapi terlaksana mengikut tahapnya. Sesebuah negara mempunyai tahap amalan demokrasi yang berbeza baik dari aspek ruang dan pelaksanaan.”

Namun amat genjot sekali jika disimpulkan terus bahawa negara-negara (terutamanya negara Dunia Ketiga) yang tidak mengamalkan tindak-tindak demokratik selari dengan demokrasi Barat yang sedemikian ekstrem, dilabelkan sebagai autokratik, atau lebih pedas lagi negara diktator.

Selari dengan itu wujud pula badan-badan tertentu yang cuba mengklasifikasi tahap demokrasi sesebuah negara di seluruh dunia dengan kayu ukur mereka yang tertentu bagi memperlihatkan darjah atau ranking demokrasi mengikut pertimbangan mereka. Misalnya World Audit Organisation setiap tahun mengeluarkan senarai tatatingkat atau ranking demokrasi 154 negara di seluruh dunia.

Sudah pasti negara-negara yang tidak sealiran dengan mereka dilabelkan sebagai negara yang corot dalam ranking demokrasi yang mereka nilai, misalnya, Russia, Iran, Iraq, China dan Cuba, sekadar menyebut beberapa negara.

Namun blok Barat yang bangga dengan martabat demokrasi liberal mereka, mungkin lupa bahawa merekalah yang memperkenalkan gejala kolonialisme terutamanya pada abad ke-15 ke atas negara-negara lemah. Mereka jugalah pada saat ini melalui globalisasi ekonomi, budaya, teknologi dan sosial, secara instrinsiknya (halus) menyuntik dan menjajah pemikiran masyarakat dunia melalui neokolonialisme atau penjajahan bentuk baru. Media baru atau media siber menjadi saluran utama mereka.

Sekiranya mereka gagal, terutamanya kuasa besar seperti AS, maka mereka akan mengambil tindakan yang agresif sebagaimana yang berlaku di Vietnam, Afghanistan dan Iraq.

Dalam ranking demokrasi yang dikeluarkan yang melibatkan sejumlah 150 negara, Malaysia berada pada ranking 83 di belakang Filipina, Indonesia, dan Singapura.

Apakah Malaysia perlu meningkatkan ranking demokrasi sedemikian bagi menarik perhatian pelabur, pelancong serta tarikan ke atas para pelajar antarabangsa untuk datang ke Malaysia bagi membantu meningkatkan pencapai ekonomi negara?

Atau adakah atas dasar demokrasi (liberal) juga kita mahu melayani kehendak dan tuntutan golongan kecil tertentu dan sekali gus mengetepikan pandangan kolektif rakyat? Langsung dengan itu kita juga sanggup mengetepikan amalan budaya, agama, dan adat resam murni masyarakat Melayu pribumi?

Pesta Berbasikal Bogel Chicago

Lalu kita mahu membuka pintu untuk pesta LBGT dan arak, seperti yang diadakan di Israel, Madrid, Atlanta, dan Boston atau perhimpunan nudis sebagaimana yang diadakan di Syndney atau Pesta Berbasikal Bogel di Chicago?

Barangkali inilah visi yang berlegar pada minda sesetengah pemimpin pilihan rakyat melalui demokrasi Malaysia yang jatuh di tangga 83 daripada 152 buah negara dalam ranking dunia World Audit Organisation.

Mungkin Selangor boleh menjadi juara demokrasi liberal dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia.