Rasuah, Teruk Sangatkah Malaysia?

TINDAKAN proaktif SPRM mengeheret golongan yang disyaki terlibat dengan gejala rasuah akhir-akhir ini dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini membangkitkan beberapa persoalan yang positif khususnya iltizam suruhanjaya itu yang bersungguh-sungguh menegakkan prinsip tegasnya untuk membanteras rasuah.

Soal memilih ikan bilis atau jerung tidak timbul lagi kerana SPRM tidak meletakkan halangan kekebalan politik, keagamaan, kaum mahupun ketersohoran seseorang itu sebagai figura awam bagi merealisasikan misi dan visinya untuk:

  • mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah; dan
  • menjadikan SPRM agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia.

Rasuah bukanlah gejala genjot masyarakat yang hanya terpekung dalam kalangan negara-negara dunia ketiga semata-mata, tetapi ia menulari mana-mana sahaja negara selagi ada parasit yang mahu mengambil kesempatan ke atas kuasa politik, perundang-undangan, kehakiman, pentadbiran dan pemerintahan.

Allah melarang keras sesuatu amalan rasuah, sebagaimana difirmankan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 188:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Jelasnya sebagaimana dipersetujui oleh PG Osborne dan Mozley & Whitney, rasuah adalah tindakan memberi habuan kepada seseorang atau menerima habuan daripada seseorang untuk mempengaruhi tingkah laku yang mengabaikan peruntukan perundang-undangan ke atas hak awam atau kepentingan negara.

Rangsangan dan dorongan amalan rasuah boleh sahaja datang daripada pelbagai perspektif, antaranya tamak haloba pada harta benda, kemiskinan, menyalahguna kuasa, mementingkan pangkat dan kedudukan dan pelbagai lagi keinginan liar dan dorongan yang tergelincir daripada landasan moral dan undang-undang.

Gejala rasuah boleh sahaja mengakibatkan sesebuah negara itu lemah dan musnah bukan sahaja dari aspek ekonomi, malah sosial, budaya, undang-undang, kehakiman, prasarana, pendidkan, dan pentadbiran awam.

Sebagaimana yang disuarakan oleh Perdana Menteri Singapura YAB Lee Kuan Yew pada suatu ketika dahulu, jangkitan rasuah boleh sahaja menular daripada pemimpin tertinggi negara kepada pembantu pejabat.

Bagi sesetengah negera yang melihat gejala rasuah sebagai dorongan atau rangsangan yang terbangkit daripada tekanan taraf hidup, mereka telah mengambil daya usaha untuk memastikan bahawa gaji atau pendapatan pegawai perundang-undangan seperti polis dan ahli parlimen adalah lumayan mengatasi gaji penjawat awam yang lain supaya terhindar daripada dorongan salahguna kuasa yang menjurus kepada rasuah.

Negara seperti Great Britain dan Singapura misalnya telah memperuntukkan gaji polis dan ahli parlimen mengatasi gaji penjawat awam yang lain bagi mengelak penyalahgunaan kuasa yang melarat kepada rasuah.

Negara China pula misalnya mengambil tindakan memperuntukkan hukuman bunuh mandatori ke atas penjawat awam serta sesiapa sahaja yang disabitkan dengan kesalahan rasuah yang melebihi 100 ribu Yuan.

Namun di negara ini, seiring dengan tindakan aktif SPRM itu, ramai pula antara ahli masyarakat yang kritikal tetapi tidak bijaksana terus melontar tuduhan bahawa negara ini amat genting dan parah dengan gejala rasuah.

Adakah negara ini parah dengan gejala rasuah pada tahap yang amat genting atau sebaliknya SPRM telah bertindak pada tahap hiperaktif dengan misi dan visinya?

Walau bagaimanapun daripada data Organisasi Audit Dunia, pada 2016, dengan merujuk kepada indeks “rasuah”, Malaysia berbandingan dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain adalah yang kedua terbaik di bawah Singapura.

 

Dengan itu kadar rasuah di Malaysia pada tahun 2016 (diharapkan bertahan pada statistik 2017) berbanding dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain, tidaklah parah seperti yang dipersepsikan oleh sesetengah golongan masyarakat. Malaysia jauh lebih baik berbanding negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Malah kedudukan Malaysia dalam konteks indeks rasuah ini adalah lebih baik daripada China dan India. JIka diteliti Malaysia juga jauh lebih baik daripada Itali (47) Arab Saudi (49) Kuwait (58) Turkey (58) Mesir (89) Rusia (110) dan Iran (110).

Namun ia tidaklah bermakna bahawa Malaysia boleh sahaja berpuas hati dan selesa dengan kadar indeks yang sedemikian dan mengabaikan tindakan proaktif menentang gejala rasuah.