Lt. Kol. Abdul Rashid Omar: Selaklah Tempurung Itu

SEEKOR katak melompat-melompat lalu terpijak tempurung kelapa mata satu. Lantas sang katak pun terkurung dalam tempurung itu. Dilihatnya lubang di atas kepalanya lalu disangkanya matahari sudah menjadi kecil, dan dia menjadi makhluk yang amat besar dalam sebuah dunia yang begitu sempit. Lalu terpulaulah dia daripada dunia luar yang kian hari kian berubah, sedangkan mindanya turut menjadi sempit, sesempit dunia kecilnya.

Bertolak dari sini saya ingin membangkitkan mesej surat Lt. Kol. Abdul Rashid Omar (LKARO) kepada Pengerusi, Persatuan Veteran ATM, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, pada tarikh 19 Jun 2017 (sila rujuk https://goo.gl/2RXbHB).

Saya faham apa yang diluahkan oleh LKARO terangkat daripada perjuangan beliau menentang saki-baki gerombolan komunis di bawah panji Regimen Askar Melayu Diraja sejak Feb. 1967 (tarikh beliau ditauliahkan) tujuh tahun setelah Darurat ditamatkan pada 1960.

Kita percaya selepas 1960, Parti Komunis Malaya (PKM) sudahpun seperti anjing tua yang tempang. Saya pasti LKARO banyak terlibat dalam gerakan menyekat aktiviti saki-baki kader-kader PKM, yang sebenarnya selepas 1960 sudahpun lumpuh dan lemah.

Walau bagaimanapun jasa dan pengorbanan LKARO tidak boleh dilupakan, baik oleh pihak kerajaan, ATM, dan PVATM, apatah lagi rakyat marhaen seperti saya, yang amat bencikan PKM, gerilanya serta konco-konconya.

Tapi nampaknya LKARO masih kekal dengan persepsi lamanya terhadap negara China khususnya Parti Komunis China (PKC), sehingga paranoia terhadap PKC tetap tebal pada minda dan hatinya.

Namun hakikatnya LKARO tidak sedar bahawa China dan PKC sudahpun berubah terutamanya sejak kematian Mao Tze Tung (Pengerusi PKC) pada 1976. Perubahan ini menjadi lebih drastik dengan penerimaan ideologi kapitalisme dan pragmatiknya sistem ekonomi China yang menggalakkan pertumbuhan perindustrian swasta dan mengeluarkan dirinya daripada kepompong komunisme sejak akhir 1970-an lagi.

Situasi ini berlangsung khususnya setelah PKC diambil alih oleh Deng Xiaoping dan wawasan China untuk menentang kebangkitan industri Jepun yang menjadi musuh tradisinya dan masih dalam perang dingin yang berterusan.

Sikap Xiaoping yang menyokong individualisme dan insentif ekonomi, yang amat bertentangan dengan ideologi komunisme Mao dan fahaman komunis ortodoksnya, menjadi formula utama kecairan komunisme di China. Malah ketika Mao masih hidup Xiaoping seringkali berkonflik dengan Mao (sila rujuk This Day In History)

Kematian Moa, dan kemudiannya kematian Pengerusi PKC Zhou Enlai, telah membuka ruang kepada Xiaoping untuk membawa perubahan sistem ekonomi China.

Sebagaimana yang diutarakan oleh Bear Market:“In the late 1970s, the Communist Party Chairman Deng Xiaoping set about reforming the economic system away from communism and towards capitalism.

Kenyataan tersebut disahkan oleh Business Insider yang mencatatkan bahawa pada tahun 1978, Pengerusi Parti Komunis China, Deng Xiaoping amat terangsang untuk mengguna pakai kaedah kapitalis dan melakukan perubahan demi menggalakkkan pertumbuhan ekonomi dan mempertahankan keyakinan rakyat terhadap PKC.

Malah Xiaoping dan Presiden AS, Jimmy Carter telah menandatangani satu persetujuan diplomatik yang bersejarah pada tahun 1979, sekali gus membantu mengubah pendekatan komunisme Republik Rakyat China (RRC). Perjanjian itu juga meliputi dasar diplomatik, pendidikan, projek aeroangkasa, sains dan teknologi, isu RRC-Republik China (Taiwan) dan persefahaman pertahanan China-AS.

Jimmy Carter, Richard Nixon, dan Deng Xiaoping berbual mesra selepas menandatangani perjanjian diplomatik, 29 Jan 1979.

Dalam spektrum ekonomi, komunisme adalah lawan kepada kapitalisme. Secara dasarnya ideologi komunisme mengongkong kebebasan ekonomi individu dengan mengawal segala aktiviti ekonomi dan meletakkan unit-unit ekonomi itu sebagai hak kolektif rakyat. Dengan itu juga individu bagi negara yang mengamalkan sistem komunisme tidak boleh memiliki kekayaan, kerana kekayaan itu secara ekstremnya adalah milik kolektif atau milik rakyat. Pemerintahlah yang diberikan kuasa multak untuk mengawal kekayaan wewenangnya dan diagihkan sama rata kepada rakyat.

Jeanne Wilson seorang sarjana ekonomi dalam kertas kerjanya bertajuk ‘China’s Transformation towards Capitalism’ juga mengesahkan bahawa sejak 1978, China telah bergerak pantas ke arah ideologi pasaran kapitalisme. Pada tahun 1993 RRC telah memadamkan dasar ekonomi pemilikan awam (komunisme) dalam perlembagaan negara, sebaliknya mengangkat dasar ekonomi pasaran yang membenarkan Akta Hak Pemilikan Perusahaan Persendirian (1999) and Akta Hak Harta Persendirian (2004).

Sejak 1978 setelah kematian Mao Tze Tung, terdapat pakar ekonomi yang mengklasifikasikan zaman itu sebagai zaman ‘demaosation’ atau zaman meninggalkan ideologi Mao Tze Tung.

Menurut Monttreal Review (April 2011), sejak Xiaoping menjadi Pengerusi PKC, tiada lagi pemerintahan komunis yang tulen di RRC. China Daily pula melaporkan pada tahun 2010, sektor swasta membekalkan 90 peratus pekerjaan dan terdapat 7.55 juta syarikat swasta. Jumlah modal berdaftar negara ketika itu telah melebihi 15 trilion Yuan (USD2.2 trilion). RRC amat menggalakkan pertumbuhan sektor swasta yang bebas daripada dasar komunisme sebelum 1978.

Amat dangkallah pendirian kita jika sekiranya Malaysia menolak kerjasama ekonomi dengan China yang mana PKC yang memerintah telah secara perlahan-lahan meninggalkan idelogi komunisme Mao Tze Tung.

Oleh itu hubungan ekonomi Malaysia-China tidak ada kena-mengena dengan penyerapan ideologi komunis sebagaimana yang menjadi kegusaran negara Asia Tenggara, lebih-lebih lagi dengan asakan psikologi dan spekulasi Teori Domino, sedangkan Amerika Syarikat sendiri menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.

Fenomena penyerapan ideologi komunis di negara kita pada tahun-tahun 1940-an sehingga era pasca-Merdeka dan tamatnya Darurat pada tahun 1960, sudah menjadi sejarah lama. Ia bukan lagi signifikan dan kita tidak harus terperangkap dengan paranoia yang tidak berasas bahawa wujud pula neo-komunisme yang akan mengulangani zaman keganasan PKM dan gerakan gerila komunis.

Pengorbanan LKARO dan seluruh ATM dahulu tidak sia-sia dengan wujudnya jalinan hubungan ekonomi Malaysia-China, kerana perjuangan membanteras gerakan komunis dan ideologi komunisme dahulu tidak lagi relevan pada masa ini kerana ideologi komunisme di China sendiri sudah perlahan-lahan luntur dan tidak lagi diterima.

Samalah sekiranya kita mahu membenci Jepun hanya kerana Jepun telah menjajah negara pada suatu ketika dahulu sambil membawa ideologi anti-British dan anti-Barat dengan falsafah Asia untuk Asians.

Samalah juga jika kita mahu membenci British kerana mereka dahulu pernah menjajah Tanah Melayu. Amat tidak logik jika kita mahu membenci Portugis kerana menjajah Melaka, atau Belanda, atas pandangan genjot yang serupa.

Atau mengapa kita tidak membenci Singapura kerana jelas Israel menjadi penasihat dalam banyak hal pengurusan dan strategi ketenteraan Singapura? Saya kira kita harus keluar daripada spektrum skeptisme sedemikian, kerana saya percaya bahawa pemimpin kita bukan bodoh sombong, dan kita mempunyai rakyat yang tahu memilih pemimpin yang signifikan untuk Malaysia, kerana ramai cendekiawan dalam kalangan rakyat jelata.

Ia menjadi satu kelucuan yang nyata untuk mengangkat frasa dalam surat LKARO “Barisan Nasional secara terbuka membawa masuk ‘ancaman’ komunis dengan terbuka” hanya kerana BN menjalinkan hubungan ekonomi yang sihat dengan negara China. Parti Komunis China hari ini, hanyalah membawa bahan sejarah komunisme pada namanya sahaja, sedangkan pragmatiknya RRC sudah semakin jauh meninggalkan ideologi Mao Tze Tung.

Hubungan parti ke parti yang ditentang oleh LKARO adalah merujuk kepada hubungan MCA-PKC. Kita harus melihat hubungan ini sama seperti kita melihat hubungan ahli politik Melayu dengan ahli politik Indonesia dalam konteks menjalin ikatan ekonomi. Kita adalah dari rumpun Melayu Nusantara yang pastinya lebih baik daripada diwakili oleh MCA atau MIC malah sebaliknya amat buruk jika DAP.

Dengan refleksi yang sama, begitu jugalah jalinan hubungan ekonomi Malaysia-China, yang saya lihat amat relevan antara MCA dan pemerintah China. Namun ia tidak bermakna bahawa kepentingan negara dibelakangkan kerana setiap unit jalinan itu, pastinya di bawah pengetahuan kerajaan pusat. Malah MCA adalah sebahagian daripada BN.

Maka soal kerajaan BN ‘mengkhianati pejuang veteran ATM’ juga tidak timbul, kerana jalinan ekonomi Malaysia-China tiada hubung-kaitnya dengan lemahnya sokongan kerajaan terhadap veteran ATM.

Ada juga kebaikan surat LKARO kepada Persatuan Veteran ATM dari aspek mendapatkan perhatian pihak kerajaan BN. Dengan itu diharap kerajaan memberikan komitmen yang lebih untuk membantu ahli-ahli dan bekas pejuang ATM yang mungkin secara tidak sengaja dan tanpa sedar, terlepas pandang akan kebajikan mereka.

Untuk pengetahun LKARO, kerajaan RRC yang diketuai oleh parti pemerintah iaitu PKC, hanya mengiktiraf kerajaan BN khususnya parti UMNO dan MCA, bukan kerajaan DAP yang cauvinis. Dengan itu tidak timbul isu parti PKC yang mahu menyelinap bagaikan parasit neokolonialisme untuk merosakkan kedudukan orang Melayu dan umat Islam. Malah MOU yang dimaktubkan ialah persefahaman pendidikan dan ekonomi, jauh sekali soal perjanjian ketenteraan mahupun perisikan.

Perarakan penyokong DAP dan sepanduk yang membawa ideologi Mao Tze Tung, 2 hari sebelum 13 Mei 1969

Pada hemat saya sepatutnya LKARO mengkritik dan menyerang veteran ATM yang menyokong Pakatan Harapan kerana mereka ini bersekongkol dengan DAP yang masih tebal kebenciannya terhadap Melayu-Islam. DAP ini masih mengandung DNA PKM yang mahu mendewa-dewakan Chin Peng dan konco-konconya, serta mengangkat ajaran Mao Tze Tung pada suatu ketika dahulu. Pergilah ke Pulau Pinang, ia sudahpun menjadi seperti Hongkong dan berpuluh ribu umat Melayu berpindah ke Kulim dan Sungai Patani, Kedah (Sila rujuk Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia, Dato’ Huan Cheng Guan).

Maka marilah kita selak tempurung yang tertutup itu, supaya katak di bawahnya dapat kita bebaskan ke dunia nyata yang pragmatik dengan menyedari hakikat perubahan yang sedang berlaku di sekeliling kita. China bukan musuh kita, Jepun juga bukan lagi musuh kita, Portugis bukan musuh kita, Belanda juga bukan musuh kita, dan British juga bukan lagi musuh kita. Musuh kita sebenarnya ialah pemikiran genjot-dangkal kita sendiri !