Paranoia PAGE Terhadap Umno

SAYA tidak pasti adakah apa yang diluahkan oleh PAGE atau Parent Action Group for Education dalam MalaysiaKini melalui artikelnya ‘Stunts like Umno-themed play eroding confidence in national schools’ sebagai satu visi perjuangan penubuhannya untuk mengangkat martabat sistem pendidikan di Malaysia atau ia tumpang berdiri atas pentas parti politik pembangkang.

Sayugia saya juga tertanya adakah apa yang ditulis itu datangnya daripada jiwa seluruh ahli PAGE atau segelintir parasit dalam PAGE yang amat membenci kosa kata Umno yang dilihat sebagai racun, walaupun sejarah telah mengangkat Umno sebagai tunggak perjuangan kemerdekaan.

Bunyi namanya pun “Parent Action Group” hampir dengan Democratic Action Party atau bapa saudaranya People’s Action Party, malah wadah yang dipilih pula ialah Malaysiakini; juara kepada juara suara pembangkang terhadap Umno kerana dalam Umno terdapat nadi Melayu!

Apa yang menjadi premis kritikan PAGE ialah tema pertandingan dekorasi peringkat Putrajaya di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presinct 14(1) iaitu “Umno dan Kemerdekaan” dan rentetan kepada sentimen mensyukuri kejayaan dan sumbangan Umno terhadap perjuangan kemerdekaan itu, maka terdapatlah sekumpulan pelajar yang melaungkan “hidup Umno”. Mungkin di sinilah terletak titik kebencian itu.

Lantas PAGE menjadi rabun sebelah mata apabila ia lupa mengangkat dan berterima kasih kepada rombongan UMNO bersama-sama MCA dan MIC yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Umno), HS Lee, Tan Cheng Lok dan Tun VT Sambathan yang dengan beraninya berdiri atas bendera Perikatan menemui pihak Britih pada tahun 1956 untuk memaktubkan The Treaty of London, justeru memerdekakan Tanah Melayu.

Persatuan Malaysian Historical Society of Kuala Lumpur (MHSKL) yang terlibat bersama dalam penganjuran pertandingan berkenaan telah pun menjelaskan tentang falsafah murni pertandingan tersebut yang selari dengan silabus pendidikan, memperbaiki dan meningkatkan tabiat menggarap pengetahuan dan ilmu sejarah, dan mengetahui sumber sejarah tanah air dalam kalangan pelajar sekolah. Ini satu testimoni yang harus diterima oleh PAGE.

Kalau dikaji kembali titik sejarah perjuangan tersebut, maka Umno-lah yang menjadi wira pada bibit-bibit awal perjuangan, sebaliknya pihak lain tidak begitu bersungguhan. Kegusaran ini pernah disuarakan oleh Tan Cheng Lok kepada kaum Cina supaya berterima kasih kepada kerajaan Parti Perikatan yang diterajui oleh Umno kerana seelok-elok negara mencapai kemerdekaan, dalam tempoh beberapa bulan sahaja beratus ribu kaum Cina diterima menjadi warganegara yang sah.

Malah di tengah-tengah kancah perjuangan itu, pihak komunis khususnya Parti Komunis Malaya (PKM) juga bermatian berjuang untuk memastikan bahawa sistem pemerintahan dan politik Malaya bertunjangkan sistem komunisme yang berkiblatkan kepada falsafah dan ideologi Mao Tze Tung. Malah PKM dilihat bersinonim dengan kaum pendatang tertentu yang oportunis dengan berselindung di sebalik perjuangan menentang Jepun dan British. PKM seterusnya menjadi ganas sehingga membawa kepada pengisytiharan Darurat yang berlanjutan sehingga 1960.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menandatangani The Treaty of London pada 8 Februari 1956

Pada hari ini, bibit-bibit parasit itu masih wujud dalam minda pihak tertentu bagaikan gunting dalam lipatan, bagaikan duri dalam daging, dan bagaikan lintah di kaki kerbau.

Golongan ini mahu sahaja seluruh Malaysia menjadi seperti Singapura, yang peribuminya hanya tinggal sekelumit sahaja, maka kontrak sosial sebagaimana yang dipersetujui semasa kemerdekaan menjadi racun dalam minda mereka.

Segalanya membentuk paranoia terhadap Umno, kerana dalam Umno ada tema “MELAYU” dalam Umno ada peribumi, dalam Umno tercatat sejarah yang telah melenyapkan ideologi Mau Tze Tung di bumi Malaysia.

Kita tidak hairan jika wadah yang mereka pilih untuk menzahirkan intipati paranoia mereka ialah wadah yang 99% berpaksikan politik, malah politik yang semata-mata bermatlamatkan bangkangan terhadap kerajaan, mengangkat apa sahaja yang buruk, meskipun yang buruk itu hanyalah hujan sehari dalam panas bertahun.

Kita percaya bahawa paranoia pihak yang menerajui PAGE terhadap Umno tak akan hilang, kecuali sistem pendidikan negara ini jatuh ke tangan pihak tertentu yang bukan Umno yang bukan Melayu, dan yang bukan peribumi.

Perarakan parti pembangkang yang mengangkat penyapu besar untuk menyapu orang Melayu, malah ada yang maki hamun dengan berkata Melayu Sakai, Melayu Masuk Hutan dan Melayu Balik Kampung makan jagung. Menteri Besar Selangor, Dato’ Harun Idris, juga mahu dihalau keluar dari Selangor hanya kerana parti pembangkang menang 13 kerusi daripada 27 kerusi di Selangor (sila rujuk Before and After 13th May oleh Tunku Abdul Rahman).

Tidak usahlah PAGE mahu melaung-laungkan bahawa berlaku “eroding confidence in national schools” kerana sudah terang lagi bersuluh bahawa sekolah-sekolah jenis kebangsaan tertentu telah gagal mengangkat semangat patriotik sebagai warga jati negara ini. Lepasan sekolah ini juga amat dangkal menguasai bahasa Melayu, kerana paranoia yang mereka warisi terhadap kosa kata Melayu itu sendiri.

Pastinya golongan ini akan melompat jika sekiranya sejarah menolak penubuhan Malaysia atas usaha Umno sebagaimana golongan tertentu riuh bagaikan kera mabuk kena belacan apabila Sang Nila Utama ditolak sebagai anak peribumi yang membuka Singapura atau Francis Light yang menemui Pulau Pinang sedangkan kehadiran Francis Light disambut oleh kaum peribumi Melayu yang telah lama bermastautin di bumi itu. Jelasnya falsafah murni patriotisme sebagai warga jati negaralah yang akan “erode within the heart and mind of our young generation”.