Siapakah Yang Zalim : TDM Atau DSN?

RAKYAT mesti terkeliru dengan kenyataan-kenyataan yang terhambur melalui akhbar dalam talian, apabila Tun Dr Mahathir Muhamad (TDM) mengatakan bahawa Dato’ Sri Najib sebagai zalim. Benarkah tuduhan sedemikian kerana ia bersifat subjektif apabila bukti dan kebenaran boleh dimanipulasi, dieksploitasi dan diputar-belitkan?

Sebaliknya di tengah-tengah tuduhan itu, TDM seperti tidak sedar bahawa terdapat ramai musuh politiknya, penganalisis politik dan intelektual yang sejak lama dulu telah melabelkannya sebagai diktator yang zalim sehingga timbul gelaran terhadapnya sebagai ‘Mahazalim’ dan ‘Mahafiraun’.

Malah TDM sendiri telah mengaku bahawa dia telah menzalimi Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Lihat sahaja sebahagian daripada cetakan skrin di bawah, tentang pengakuan TDM.

Semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi (TAAB) menjadi Perdana Menteri, TDM sentiasa tidak senang duduk, dan tidak henti mengutuk TAAB, sedangkan TDM sendiri yang memilih TAAB untuk menggantikan beliau.

Ramai pula yang melihat ketika itu bahawa TDM suka dan amat merestui jika DSN menggantikan TAAB. Namun setelah tampuk pentadbiran negara digantikan pula oleh DSN, kutuk-mengutuk TDM terhadap Perdana Menteri DSN sekali gus bermula.

Namun kutukannya terhadap DSN menjadi lebih dahsyat lagi daripada kutukannya terhadap TAAB, dan di luar jangkaan sehingga rakyat menjadi gusar resah-gelisah seakan-akan negara ini disumpah laknat tidak akan aman sfera politiknya, selagi ada orang seperti TDM.

Apabila dibuka kembali lembaran sejarah, sememangnya TDM telah tebal dengan tabiaatnya suka mengutuk dan menganiaya hampir semua Perdana Menteri sebelumnya.

Ia bermula sejak Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (TAR) lagi. Malah ramai yang setuju bahawa TAR melepaskan jawatannya kerana TDM. Utusan Malaysia pada 9 Julai 2017, telah menyiarkan rakaman luahan rasa Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj:

Dia (Mahathir) buat satu surat kepada saya. Tapi diedar beratus ribu salinannya kepada semua orang. Er… tentera-tentera, polis, orang-orang kebanyakan ni, diedarkan. Dan dimaki saya dalam itu dengan berbagai-bagai perkataan. Saya ini dibenci oleh semua orang Melayu, dibenci oleh pegawai-pegawai kerajaan, dibenci oleh askar Melayu, dibenci oleh polis dan sebagainya. Di sini nampaknya nak, caranya, tujuannya nak bagi orang semua-semua benci kepada saya. Buang saya dan ubahkan pemerintahan Malaya ini. Dia kata saya ini pro-Cina, saya berjuang begitu lama, begitu susah, dan begitu payah, susah-payah, adakah dengan untuk mengangkatkan Cina? Ini semua untuk nak bagi tempat dalam negeri ini kepada orang Melayu. Itu tujuan saya yang berjuang ini. Dia kata saya pro-Cina, saya buat itu bagi Cina, macam-macamlah dia kata. Jadi ditunjuk di situ khianatnya.”

Sebagaimana yang disiarkan oleh Malaysiakini pula:

Tindakan Mahathir itu telah memusnahkan semua kerja keras Tunku untuk orang Melayu dan negara. Kemelut antara Tunku dan Mahathir memainkan peranan penting dalam politik negara. Serangan Mahathir terhadap Tunku itu menyebabkan bapa kemerdekaan tersebut meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri pertama pada 1970 dan diganti dengan Tun Abdul Razak Hussein.

Apabila Tun Abdul Razak digantikan dengan Tun Hussein Onn (THO), lagi sekali TDM menyerang Perdana Menteri sehingga THO meletakkan jawatan. Sebagaimana dilaporkan oleh TV14.my:

Konflik dalaman pada zaman Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri tidak diketahui khalayak. Ramai tidak tahu sebenarnya Tun Hussein Onn bukan berundur kerana faktor kesihatan namun kerana tekanan yang kuat diberikan Mahathir.

Jelasnya sudah empat Perdana Menteri diganggu oleh TDM iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Hussien Onn, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan yang terkini Dato Sri Najib. Mereka diganggu dan dihina dengan kutukan-kutukannya sehingga mengganggu urusan pentadbiran mereka.

Kemudian sebagaimana didedahkan oleh Dr Chandra Muzaffar (dipetik daripada Malaysia Today), melalui Operasi Lalang 1987, ketika TDM menjadi Perdana Menteri, sejumlah 106 pemimpin politik pembangkang telah dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, antara pemimpin tertinggi DAP. Kata Dr Chandra:

He has changed his principle about DAP, Anwar Ibrahim and the change happened due to his lust for power and politics.

Antara frasa menarik daripada tulisan Dr Chandra untuk digariskan ialah, “Dia (TDM) telah mengubah prinsipnya terhadap DAP, Anwar Ibrahim dan perubahan itu berlaku adalah disebabkan oleh keserakahan nafsunya terhadap kuasa dan politik.

Dr. Kua Kia Soong, penasihat SUARAM, pernah dipenjarakan selama 445 hari di bawah ISA ekoran tindakan TDM dalam Operasi Lalang. Beliau telah mendesak TDM supaya memohon maaf secara terbuka kepada semua tahanan ISA dan ahli keluarga mereka, dan menekankan supaya TDM, yang paling lama memegang kerusi Perdana Menteri, tidak menyalahkan pihak polis atas apa yang berlaku pada Operasi Lalang 1987.

Menurut Dr Kua, TDM tidak mengendahkan perkara paling utama dalam ISA ketika dia berkuasa sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang bertanggung jawab menandatangani perintah tambahan tahanan selama dua tahun setelah dikenakan tahanan 60 hari. Sebagaimana dipetik daripada portal Malaysia Today:

Mahathir has overlooked something that is so elementary to the ISA, namely, that it is the Home Minister (ie. Mahathir at the time) who signed the two-year detention order after the first 60 days of solitary confinement.

Bagaimana pula dengan tragedi Memali 32 tahun dahulu, apabila seramai 10 penduduk kampung dan 4 pegawai keselamatan terbunuh, berpuluh cedera manakala lebih seratus lagi ditahan?

Tun Musa Hitam mendakwa bahawa walaupun dia adalah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika tragedi Memali itu, tetapi dia telah dijadikan kambing hitam (kiasan yang bermaksud orang yang dipersalahkan dan dihukum sebab kesalahan orang lain).

Malah Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata,

PAS sudah lupakah ramai pimpinan PAS terdahulu ‘disumbat’ dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dipenjara dan dibelasah oleh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU)? Suka saya nyatakan bahawa Mahathirlah yang bertanggungjawab kerana waktu itu beliau adalah Perdana Menteri.

DSN selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri bagaimanapun telah memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 yang didakwa sebilangan masyarakat sebagai suatu akta yang zalim.

Justeru, Nasrudin meminta masyarakat terutama ahli dan penyokong PAS mengingati kezaliman Mahathir selama lebih 22 tahun sebagai Perdana Menteri berbanding pemerintahan Najib yang masih baru.

Utusan Malaysia memetik berita Harakah Daily (20 Oktober 2017) yang menyiarkan kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang:

Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan orang di sebalik pelbagai tindakan yang menyebabkan “kerosakan sistem negara”, dan menganggap menyokong gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan bekas perdana menteri itu kini umpama menyetujui “kezaliman” lampau (TDM). Selayaknya Mahathir bertaubat kerana dialah penyebab kerosakan sistem negara, mengurangkan hak dan kuasa Melayu-Islam dan Majlis Raja-raja, mengamalkan demokrasi tempang dan memerintah negara secara diktator. Semua kesalahan ini beliau tidak mengaku dan tidak minta maaf kepada mangsa, bahkan masih lagi mempertahankan salah lakunya.

TV14.my pula telah menyelak semula lembaran sejarah daripada Allahyarham Dato’ Ustaz Haji Fadzil Noor, bekas YDP PAS, yang pernah bermunajat dan memohon kepada Allah SWT agar TDM dipanjangkan umurnya supaya dunia khususnya rakyat Malaysia dapat melihat sendiri bukti-bukti kezaliman TDM semasa beliau bergelar Perdana Menteri Malaysia. Apakah rakyat Malaysia rabun dan buta?

 

Daripada perbincangan di atas, marilah kita kembali kepada persoalan asal, “Siapakah yang zalim, TDM atau DSN?”.

Saya tidak mahu mengheret khalayak pembaca kepada apa yang saya ingin simpulkan. Fikirkanlah sendiri siapakah yang sebenarnya zalim.