Dr Mahathir Liabiliti Kepada Pakatan Harapan

BANYAK misteri yang terbangkit daripada sikap, pendirian dan tindak-tanduk Tun Dr Mahathir (TDM) akhir-akhir ini. Dia seperti terdesak sangat untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib (DSN) seakan-akan DSN musuh dunia akhirat kepadanya. Dia memaksa dirinya bekerjasama dengan musuh politiknya DAP, dia mengaku menzalimi Dato Seri Anwar Ibrahim, dia juga mengaku bahawa dia adalah diktator semasa menjadi PM.

Jika dia melihat bahawa dirinya adalah Perdana Menteri terbaik, maka dia harus baca komentar daripada ramai penganalisis politik yang melihat dia sebagai diktator yang menzalimi orang-orang yang tidak sependapat dengannya.

TDM juga telah dilihat mempergunakan kuasanya untuk mengelabui mata rakyat dengan mengawal media bagi menutup salah guna kuasa yang diberikan kepadanya. Dakwaan ini diperkukuhkan apabila Jawatankuasa Antarabangsa Untuk Mempertahankan Wartawan (CPJ) telah menamakan TDM sebagai salah seorang daripada ‘Sepuluh Teratas Musuh Akhbar’ pada tahun 2000 selama dua tahun berturut-turut.

Pihak pembangkang daripada golongan Pakatan Harapan pastinya tidak akan lupa kezaliman TDM terhadap musuh politiknya, Mat Sabu, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Anwar Ibrahim (juga terheret bersama Wan Azizah), sekadar menyebut beberapa nama. Malah TDM telah mengakui bahawa dia telah menzalimi Anwar dan dia juga mengaku dia diktator.

TDM lupa bahawa sekiranya pembangkang yang memenangi PRU Ke-14 ini, mereka tidak akan berdiam diri untuk mengheret dia ke mahkamah atas salah laku politiknya semasa menduduki kerusi PM. Malah YB Dr Wan Azizah sudah memberi jaminan kepada penyokong PKR dan PH bahawa TDM akan disiasat atas segala tuduhan terhadapnya sepanjang dia menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Agak menarik untuk berkongsi bersama pembaca apabila MalaysiaToday melaporkan bahawa pada tahun 2004 TDM bukan meletakkan jawatannya sebagai PM dengan rela hati sebagaimana yang dia uar-uarkan melalui media massa.

MalaysiaToday melaporkan: “Pihak Polis Cawangan Khas telah memberitahu Mahathir bahawa dia akan kalah dalam pilihan raya 2004 jika dia terus kekal sebagai Perdana Menteri. Dengan itu Mahathir telah meletakkan jawatannya beberapa bulan sebelum pilihan raya umum dan BN telah mencatat sejarah kemenangan yang besar dalam sejarah. Rakyat Malaysia amat gembira kerana Mahathir sudah tiada dan mereka memberikan 91% kerusi kemenangan kepada BN. Jadi Mahathir tidak meletakkan jawatan atas kerelaan hatinya. Dia terpaksa berundur atau jika tidak, dia akan ditendang keluar. Dan dia diberitahu bahawa jika dia ditendang keluar dia akan dipenjarakan. Jadi lebih baiklah dia bergundur dan terus memiliki bilion ringgit dengan tindakannya itu.”

Sebagai mengesahkan laporan itu, MalaysiaToday meminta pembaca bertanya bekas Timbalan Pengarah Polis Cawangan Khas (PCK) Hamid Bador, bagaimana PCK telah menasihatkan TDM supaya meletakkan jawatan sebelum PRU 2004 atau menghadapi kekalahan dalam pilihan raya itu dan kemudiannya dipenjarakan.

TDM mengumumkan peletakkan jawatannya pada 22 Jun 2002

Laporan tersebut menjawab persoalan ‘kenapakah TDM menangis sekiranya pengumuman untuk meletakkan jawatannya sebagai PM adalah dengan kerelaan hatinya?’ Tidakkah tangisan itu menggambarkan perilaku yang terdesak; suatu keputusan yang dibuat secara terpaksa dan menyedihkan? Meskipun keputusan peletakan jawatan itu ditangguhkan dan tidak berkuat kuasa serta-merta tetapi ia tetap berlaku sebelum PRU 2004. Dengan itu juga pendedahan yang dibuat oleh MalaysiaToday mengandungi logik yang amat signifikan.

Justeru rakyat dapat melihat bagaimana TDM tidak boleh duduk diam ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan kini DSN, menduduki kerusi PM. TDM seperti mahukan kembali kerusi itu kerana peletakan jawatannya bukan kerana kerelaan hatinya yang terbuka, dan dia masih tamakkan kuasa politik dan sebagaimana yang dilaporkan oleh MalaysiaToday, demi menjaga harta kekayaan kaum keluarganya.

TDM menjadi liabiliti PH kerana banyak tuduhan yang dilemparkan kepada DSN adalah tertuju kepada dirinya sendiri, malah sekiranya rakyat tidak pekak dan rabun, mereka akan dapati bahawa TDM jauh berganda-ganda lebih teruk daripada DSN kerana DSN mempunyai ihsan yang tinggi terhadap kebajikan rakyat berpendapatan rendah.

FreeMalaysia Today mendakwa TDM menentang Hak Asasi Manusia

Sebagaimana dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang, Pengerusi PPBM itu (TDM) adalah penyebab kerosakan sistem negara apabila mengurangkan hak dan kuasa Melayu-Islam dan Majlis Raja-Raja, mengamalkan demokrasi tempang dan mentadbir negara secara diktator serta mengamalkan politik wang.

Dari pentas undang-undang mahupun dari perspektif moral TDM tidak ada locus standi untuk mendakwa DSN sebagai PM yang melanggar prinsip Hak Asasi Manusia, menuduh DSN sebagai diktator, menipu pilihan raya, dan mencuri wang rakyat (pembayar cukai) melalui 1MDB.

TDM sendiri juga harus menjelaskan adakah dengan kuasa yang dimilikinya sebagai PM, keluarganya menjadi billionaires.

TDM meminta DSN membuktikan bahawa dia tidak mencuri dana 1MDB dan dengan alasan yang sama juga TDM hendaklah membuktikan bahawa dia tidak menyebabkan Malaysia kehilangan RM100 bilion sebagaimana yang didakwa oleh ramai golongan yang terlibat dengan ekonomi negara termasuk pegawai tinggi Bank Negara.

Mahathir pernah mengkritik ahli politik Melayu yang keluar parti dan kemudiannya bersekongkol dengan parti politik cauvinis Cina. Kata TDM, “Mereka lebih berkuasa kerana orang Melayu asyik berperang sesama mereka. Dan bila berperang pula pi cari orang Cina nak suruh sokong, berpeluk-peluk dengan orang Cina pasai nak sokongan dia. Jadi dia naik tocang kerana kita hendak sangat sokongan dia.”

Ironinya, segala dakwaan TDM itu tertuju kepada dirinya sendiri, malah amat jelas segala apa yang diperkatakan itu adalah karektor dirinya juga apabila sanggup bekerjasama dengan DAP, yang ramai menyangka itulah musuh politik TDM dunia akhirat.

TDM juga mengkritik bekas pemimpin Umno yang apabila keluar daripada parti, mereka menabur fitnah yang bukan-bukan terhadap Umno. Katanya, “Mereka apabila disingkir daripada Umno mereka melemparkan fitnah kepada Umno dan cuba mendapat sokongan daripada parti lawan. Orang ini perjuangannya amat cetek.”

Hujah TDM sedemikian terpantul pada dirinya juga, yang dilihat amat kental dan terdesak membuat tuduhan dan fitnah yang bukan-bukan terhadap Umno, malah sanggup mensabotaj ekonomi negara di peringkat antarabangsa. Kalau TDM mendakwa bahawa ahli politik sebegini sebagai mendukung visi politik yang amat cetek, tidakkah dakwaan itu terkena pada dirinya sendiri?

Pasti rakyat yang tidak pekak dan rabun, tetapi celek akal dan waras tidak akan menyokong pemimpin hipokrit dan pastinya juga PH tidak bodoh dan jahil memperjudikan masa depan mereka untuk bekerjasama dengan politikus sedemikian. Jelasnya pemimpin sebegini adalah liabiliti kepada PH!