PAS Sebagai Kuasa Ketiga

PADA pentas politik Malaysia sekarang kita dapat melihat pertembungan nyata pada PRU ke-14 nanti adalah antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Manakala PAS berada di tengah, berperanan sebagai kuasa penentu yang menjadi ‘faktor pemberat’ kepada mana-mana pihak antara BN dan PH.

Sekiranya sebelum wujudnya Pakatan Harapan, kita hanya melihat pertembungan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Ketika itu PAS berada dalam Pakatan Rakyat. Kini PAS bersendirian.

Terdapat dua premis yang boleh menjadi kebarangkalian yang menyebabkan PAS meninggalkan pakatan pembangkang.

Pertama kerana PAS sedar bahawa terdapat dalam kalangan pakatan pembangkang yang memperkudakan PAS untuk mencapai matlamat politik mereka tanpa menghormati prinsip dan falsafah PAS terhadap Islam.

Kedua kerana PAS sedar bahawa kempimpinan PAS yang lalu telah tersepit dalam jerangkap PKR yang tidak dapat menolak kerjasama dengan DAP bagi survival politik mereka.

Sejarah telah membuktikan bahawa PAS sebagaimana yang mereka sendiri dakwa, amat teguh memegang prinsip keislamannya yang kuat yang sebahagiannya dimanifestasikan dalam ‘Amanat Haji Hadi’.

Dengan amanat itu, PAS tidak gentar menakrifkan kekafiran bagi sesiapa atau mana-mana parti yang tidak sependapat dengannya. Malah pentakrifan PAS tidak terkecuali kepada masyarakat Melayu Islam yang mengucap dua kalimah syahadah, yang solat sehari-semalam lima waktu, yang berpuasa pada bulan Ramadan, yang menunaikan zakat dan mengerjakan haji. Asalkan mereka tidak bersama PAS, maka keislaman mereka boleh dipertikaikan.

Lalu berlakulah konflik antara masyarakat Melayu Islam dengan pengikut PAS dalam konteks keagamaannya, dan amal-ibadatnya. PAS menjadi begitu suci sehingga ia dilihat bawah sedikit daripada agama Islam itu sendiri, dan ada pemimpinnya yang dilihat bawah sedikit daripada nabi.

Maka berleretanlah konflik itu sesama umat Islam sehingga solat dua imam, sembelihan penyokong UMNO menjadi haram, jemputan kenduri kahwin orang UMNO tidak boleh dihadiri dan macam-macam lagi sekiranya subjek bukan penyokong PAS.

Kepimpinan tertinggi PAS pastinya akan berkata bahawa tafsiran ‘Amanat Haji Hadi’ itu telah tergelincir daripada falsafah murninya, namun kempimpinan PAS tidak pula mahu menegur ahli-ahli yang menafsir ‘Amanat’ itu secara ekstrem dan terkelencong daripada dasarnya.

Kemudiannya apabila lahirnya PKR, rakyat dapat saksikan PAS telah dapat menerima dan bekerjasama dengannya, malah semua sahabat PKR menjadi sahabat baik PAS.

Anwar Ibrahim yang sebelumnya dikatakan ahli neraka oleh PAS seperti telah diampunkan oleh kepimpinan PAS agar dapat diterima dalam kerjasama politik untuk menjatuhkan UMNO.

Ramai umat Islam baik dalam kalangan ahli UMNO mahupun ahli PAS sendiri yang sebelumnya melihat PAS sebagai satu-satu parti suci, yang tertegak atas hukum Allah menjadi keliru dan terkedu dengan pendirian PAS yang berubah. Mungkin PAS ada kuasa mengampunkan seseorang bakal ahli neraka.

PAS juga telah mendakwa bahawa DAP sama sahaja dengan syaitan. Pandangan PAS sedemikian diterima baik oleh umat Islam yang sedar tentang pendirian DAP yang sering dilihat sebagai anti-Islam, anti-Melayu dan anti-Raja-Raja Melayu. Sebagaimana kata pemimpin DAP terdahulu “Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu”. Namun sebagaimana biasa atas pentas politik kepimpinan DAP akan mendakwa bahawa kenyataan yang dibuat telah disalah tafsir oleh pihak akhbar.

Rakyat mula berfikir bahawa tiada parti politik yang lebih kental untuk disandarkan dalam konteks menegakkan agama Islam kecuali PAS. UMNO gagal memenangi keyakinan umat Islam, sebaliknya umat Islam Malaysia berasa selamat apabila PAS mendakwa bahawa DAP adalah syaitan.

Ironinya, apabila PAS bersekongkol dengan PKR dan menjadikan sahabat-handai PKR sebagai sahabatnya juga, termasuk DAP, lagi sekali rakyat menjadi celaru.

Bagaimanakah PAS boleh bersahabat dengan DAP yang dianggapnya sebagai syaitan?

Lalu pemberita yang tebal dengan naluri ingin tahu terus berbondong bertanya pada kepimpinan PAS “Mengapa PAS berbaik dengan DAP, sekiranya DAP dianggap syaitan?”

Lalu pemimpin PAS itu menjawab, “Jika DAP ikhlas nak tolong PAS saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun boleh saya terima.

Lagi sekali rakyat terkeliru dan terbungkam, kerana dalam surah Al-Araf ayat 27, Allah berfirman, marfumnya:

“Hai anak-anak Adam! Janganlah kamu semua dapat dipujuk oleh syaitan, sebagaimana dia dapat mengeluarkan kedua-dua ibu bapa kamu dari syurga. Dibukakannya pakaian kedua-duanya sehingga terlihatlah kemaluan mereka. Sesungguhnya syaitan itu, ia dan golongannya dapat melihatmu dan kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya syaitan itu Kami (Allah), jadikan pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.”

Jelaslah bahawa syaitan tidak membawa manusia ke mana-mana kecuali neraka.

Kemudiannya berentetanlah kenyataan-kenyataan aneh dan mengelirukan (jika tidak menyesatkan) yang dikeluarkan oleh pemimpin tertentu PAS, misalnya Tuhan itu samseng, Tuhan juga mencarut, Nabi Muhammad itu sama seperti mamat-mamat biasa kecuali setelah berusia 40-tahun, mengundi PAS masuk syurga dan macam-macam lagi.

Hari ini keadaan sudah berubah, PAS bukan lagi sahabat syaitan. PAS sudah keluar daripada ketaksuban terhadap pemimpin yang menjadikan matlamat politik sebagai keimanannya.

Kepimpinan PAS telah sedar dan insaf, bagaimana syaitan dan konco-konconya telah memperkudakan PAS. Sebaliknya rakyat dan msyarakat Melayu-Islam sudah lama tahu, budak lepasan sekolah pun tahu kesilapan lalu PAS. Mereka yang tidak tahu adalah golongan yang secara ekstremnya amat taksub kepada pemimpin PAS tertentu.

Hari ini, dengan ketiadaan PAS dalam PH, keadaan menjadi amat huru-hara kepada PKR, DAP dan konco-konconya. Mereka tahu PAS ada kekuatan yang amat signifikan. Lihat sahaja ketiadaan sokongan PAS pada perhimpunan Kleptocracy pembangkang – ia bertukar menjadi lebih baik sedikit daripada pasar malam.

PAS menolak DAP dan parti serpihannya PAN, lalu jika PH menerima DAP dan PAN, maka PAS terpaksa keluar, biarpun bersendirian. Namun ramai melihat bahawa PAS tidak akan lemah.

Kini PAS berdiri kembali atas paksi asalnya, untuk menegakkan syiar Islam. Dengan itu juga ia akan menjadi kuasa ketiga antara PH dan BN. Malah PAS sudah menjangkakan bahawa ia akan menjadi kuasa penentu di sesetengah negeri, dan mungkin juga kuasa penentu bagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan selepas PRU Ke-14 nanti.

Jika diibaratkan jongkang-jongket, PAS-lah nanti yang akan menentukan pihak manakah yang lebih berat antara BN dan PH. Pas-lah yang akan menentukan siapakah yang akan menerajui sesebuah negeri, kecuali bagi negeri yang sememangnya telah menjadi legasi PAS, seperti Kelantan.

Walau bagaimanapun kegelojohonan PH yang awal-awal lagi sudah menolak PAS, adalah tindakan yang tidak matang. PAS ada kekuatan yang signifikan.

Kita tidak akan terkejut jika sekiranya dengan gelombang anti-Mahathir dan anti-DAP, dan dengan pengaruh yang ada pada Anwar Ibrahim, boleh sahaja PKR dan PAS bergabung dengan UMNO nanti. Barang kali juga jika PAS bersama membentuk kerjasana dengan UMNO dalam pasukan BN bagi menentang syaitan dan konco-konconya.

Namun setakat perkembangan sekarang, amat jelas PAS adalah kuasa ketiga. PAS akan menjadi penentu kepada corak keputusan PRU ke-14. PAS akan menjadi faktor tsunami Melayu-Islam. PAS juga akan menjadi permata rebutan.