PKR Bunuh Agenda Melayu

APABILA kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan arahan kepada semua jabatan, agensi dan anak-anak syarikatnya supaya menghentikan langganan akhbar Kumpulan Utusan dan Berita Harian (NST?) berkuat kuasa serta merta, ramai yang melihat bahawa PKR cuba membunuh agenda Melayu (sila rujuk ucapan Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, Annuar Musa, dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin)

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskas;

“Tindakan tersebut mengambarkan seolah-olah kerajaan PKR Selangor pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali takut dengan peranan akhbar arus perdana berkenaan.”

Di manakah falsafah kebebasan bersuara yang menjadi laungan puak pembangkang sekiranya sedemikian rupa tindakan mereka terhadap wadah suara Melayu di negara ini. Malah arahan tersebut telah lama dikeluarkan iaitu pada 12 Jun 2008, seelok-elok PKR memenangi pilihan raya di Selangor.

Pada 10 November lalu arahan yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya diperintahkan lagi sekali. Menurut Datuk Mohd Amin, “Bagaimanapun, pemerhatian pentadbiran ini mendapati masih terdapat jabatan, agensi serta anak syarikat kerajaan negeri melanggan akhbar Kumpulan Utusan dan Berita Harian. Perkara ini mendapat perhatian daripada pimpinan tertinggi kerajaan negeri yang meminta supaya langganan akhbar tersebut dihentikan serta-merta di setiap jabatan dan agensi.”

Jika dengan logik politik, boleh sahaja Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengharamkan akhbar pro-pembangkang sekiranya prinsip yang sama digunakan.

Anehnya kita lihat akhbar tabloid murahan SelangorKini bebas diletakkan di masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negeri Selangor, sedangkan banyak elemen fitnah dan pembohongan yang terkandung di dalamnya.

Walau bagaimanapun MB Selangor, Dato’ Seri Azmin Ali pada 13 Nov dalam SelangorKini berkata, “Sekarang orang Melayu tidak baca utusan Malaysia lagi. Ahli Umno sendiri tidak melanggan Utusan Malaysia lagi. Memang benar dalam sebuah negara yang amalkan demokrasi, saya mahu rakyat Selangor mempunyai akses kepada ilmu yang memberi pencerahan kepada mereka tetapi pencerahan dimaksudkan berasaskan fakta serta ilmu yang baik bukan fitnah, maki hamun juga bukan budaya samseng.”

Sekiranya orang Melayu tidak lagi membaca Utusan Malaysia, mengapakah ia mesti disekat? Di manakah dan bilakah pula maki hamun dan budaya samseng disiarkan dalam Utusan Malaysia mahupun Berita Harian? Tidakkah ini suatu kenyataan fitnah?

Dangkalnya fikiran MB sedemikian kerana sekiranya berlaku pendedahan atas prinsip kebenaran, ia bukan sahaja akan tersebar melalui akhbar luar talian tetapi sebaliknya akan tertular melalui akhbar dalam talian. Kerajaan Selangor boleh menghalang langanan akhbar tetapi ia tidak boleh menutup kebenaran.

Saya percaya paranoia kerajaan negeri Selangor terhadap akhbar kumpulan Utusan Melayu dan Berita Harian adalah terletak kepada pembongkaran fitnah dan pembohongan yang digunakan oleh PKR.

Mengharamkan langganan adalah sebahagian daripada modus operandi politik yang terpaksa digunakan oleh PKR tanpa melihat bahawa dua akhbar inilah yang setia mendukung agenda Melayu demi survival dan kesinambungan hayat politik Melayu.

Sedangkan dalam sfera media hari ini, kita lihat banyak pendedahan yang dibuat oleh media dalam talian terhadap fitnah dan pembohongan PKR dan rakan sekongkolnya sebagai operasi instrinsik mereka untuk memenangi pilihan raya. Pendedahan tersebut bukan tertular daripada akhbar kumpulan Utusan Melayu atau NST sebaliknya daripada banyak wadah lain yang muak dan loya dengan pembohongan demi pembohongan yang dibuat oleh puak pembangkang.

Misalnya kes Nurul Izzah Anwar yang telah menggunakan modal dan agenda pembohongan untuk memenangi pilihan raya ke-13 di DUN Lembah Pantai. Hal ini telah dibuktikan oleh mahkamah.

Sebagaimana yang didakwa oleh Raja Nong Chik, “Nurul Izzah, bagi saya, menang dengan cara jahat. Dia menyerang saya berdasarkan dua isu. Yang pertama adalah isu membawa 5,000 pengundi hantu. Padahal 5,000 itu mereka yang duduk setinggan dah pindah ke flat dan kampung lama mereka dah tiada lagi.”

Malah bloger WakeupMalaya menyatakan, “Gaji Ahli Parlimen (Nurul Izzah) yang dia perolehi untuk empat tahun selepas itu boleh dianggap “haram” kerana ia adalah hasil dari fitnah.”

Dalam isu penipuan PKR yang didedahkan oleh AIDCNews, ADUN PKR Rodziah Ismail terbuka pekungnya apabila menuduh pemansuhan kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan bajet 2018 hanya sandiwara kerana konsesi tol itu tamat pada tahun berkenaan.

Bagaimanapun dakwaan Rodziah itu dinafikan PLUS Malaysia Berhad. Menurut PLUS, berdasarkan Perjanjian Konsesi yang disemak semula pada tahun 2011, kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor dijadual berakhir pada 31 Disember 2038 dan bukannya pada 2018 sebagaimana yang didakwa oleh Rodziah.

Berkaitan kes Langkah Kajang, Penasihat Undang-undang PKR sendiri, Latheefa Koya, telah mendedahkan penipuan yang dilakukan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang tidak pernah mendapat persetujuan biro PKR.

“Saya mengambil keputusan untuk mendedahkan perkara sebenar tentang Rafizi, perkara di mana rakyat Malaysia masih belum mengetahuinya. Budak ini geng ponorogo penipu. Ya arkitek Langkah Kajang ini sekarang cuba menyalahkan orang seperti Ambiga (Datuk S. Ambiga) yang sebelum ini menentang langkah itu. Dia (Rafizi) tidak boleh memperbodohkan saya (kerana) saya ada bersama sepanjang episod itu,” kata Latheefa Koya.

Sebelumnya kita lihat bagaimana Mohd Noor Ezam menggunakan teknik penipuan dengan mendakwa bahawa beliau memiliki enam kotak salah laku Tun Dr Mahathir Muhammad. Tetapi sehingga kini enam kotak itu tidak pernah secara sahnya dibuktikan kesahihan kewujudannya, malah dilihat sebagai ugutan politik.

Kemudian kita lihat pula bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution yang mendakwa bahawa beliau mempunyai rekod fail bagi menuduh Tan Sri Khalid Ibrahim melakukan rasuah dengan tujuan menyingkirkannya dari jawatan Menteri Besar Selangor. Namun Saifuddin kemudiannya menarik balik dakwaan tersebut dan meminta maaf kepada Khalid setelah bekas Menteri Besar Selangor itu membawa perkara tersebut ke mahkamah.

Sandiwara penipuan ini bukan datang daripada akhbar kumpulan Utusan Melayu atau NST, tetapi sebaliknya daripada Free Malaysia Today, yang secara tekalnya adalah potal berita dalam talian yang propembangkang.

Kemudian kita lihat pula kenyataan yang dikeluarkan oleh MStar pada 30 April 2017, berkenaan jawapan MB Selangor Dato’ Seri Azmin Ali terhadap kes konsert Salena Gomez. “Kerajaan (Selangor) tidak ada apa-apa kaitan dengan konsert itu kerana ia diluluskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).”

Namun kemudiannya pihak Jakim menafikan telah meluluskan konsert penyanyi Selena Gomez tersebut. Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha berkata, kelulusan persembahan untuk konsert seperti itu tidak terletak di bawah bidang kuasanya. “Tuduhan seperti ini boleh menjejaskan reputasi dan kredibiliti Jakim sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam di negara ini.”

Tidak malukah rakyat Selangor apabila Menteri Besarnya dilihat dan dibuktikan sebagai penipu demi masa depan politiknya?

Kemudian kita lihat pula lagi sekali Wakeupmalaya.com mendedahkan pembohongan ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail kononnya sarung jari palsu akan diimport dari China bagi melepasi dakwat kekal yang digunakan ketika pilihanraya untuk penipuan undi.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menolak dakwaan tersebut dan melihat tuduhan itu sebagai palsu dan tidak berasas, SPR berkata siasatan dijalankan pihaknya mendapati dakwaan itu dibuat hasil petikan dari sebuah blog mengenai penggunaan sarung jari palsu yang digunakan oleh samseng Jepun.

WakeupMalaya juga menegaskan bahawa ini bukan kali pertama wakil rakyat PKR menggunakan petikan dari blog bagi mengukuhkan dakwaan mereka. Sebelum ini, Ahli Parlimen PKR bagi Pandan, Rafizi Ramli menggunakan petikan blog tidak sahih bagi membuat tuduhan mengenai pembinaan MRT. Rodziah telah memanipulasi tuduhannya dengan memplagiat sebuah blog Akiko Fujita bertajuk “Jari Palsu Membantu Ahli Yakuza” diterbitkan pada 2013 dan turut memuatkan foto jari palsu.

Banyaklah lagi pembohongan yang dibuat oleh pihak PKR yang sekali gus juga mendedahkan penipuan dan fitnah sebagai modus operandi mereka untuk memenangi pilihan raya.

Namun MB Selangor lupa bahawa Utusan Melayulah yang telah bermati-matian tertegak sebagai wadah memperjuangkan suara Melayu sejak era menuntut kemerdekaan dan menentang Malayan Union lagi.

Kita tidak lihat akhbar lain yang tulus dan ikhlas mahukan kemerdekaan negara ini tertanggung pada bahu manusia Melayu selain kumpulan Utusan Melayu. Sehingga kini Utusan Malaysia mahupun Berita Harian masih tekal memegang kukuh prinsip untuk mempertahankan suara dan hak Melayu.

Sebaliknya sebagaimana yang disuarakan bekas MB Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib;

“Masyarakat Melayu di Selangor kini semakin terhimpit ekoran kesilapan lalu memilih pembangkang menerajui negeri itu yang kini dikuasai DAP. Orang Melayu di Selangor diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan lalu dan jangan sesekali memberi undi pada parti yang bersekongkol dengan DAP. DAP bijak mengatur strategi kerana parti ditunjangi kaum Cina itu mempunyai kewangan yang kukuh untuk politik. Kalau kita benarkan DAP menjadi teras kerajaan di Selangor dan kemudian dapat Putrajaya dengan kekuatan kewangan yang ada, mereka boleh beli siapa sahaja.”

Adakah MB Dato’ Seri Azmin Ali berani mengeluarkan arahan supaya akhbar yang dikuasai DAP atau yang pro-DAP diharamkan di Selangor?