Kemelut Pendaftaran PH: Apakah Ada Agenda Tersembunyi?

SEJAK terbangkitnya konsep gabungan pembangkang pada 1990 di bawah nama Gagasan Rakyat, gabungan parti-parti pembangkang tidak pernah menggunakan logo dan panji gabungan yang diwujudkan itu dalam pilihan raya umum.

Pada 1999 wujud pula Barisan Alternatif, dan diikuti dengan Pakatan Rakyat pada 2008 dan terkini tertubuh pula Pakatan Harapan (PH).

Walau bagaimanapun pendaftaran PH melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) terbantut kerana salah satu parti komponen pembangkang itu, iaitu PPBM belum lagi mengadakan mesyuarat agungnya, serta pelanggaran perlembagaan parti apabila sayap pemudanya yang dinamakan ARMADA diwujudkan.

Walau bagaimanapun DAP khususnya dilihat secara instrinsik (halus dan tersirat) menolak untuk mengguna pakai logo gabungan pembangkang itu kerana perhitungannya yang tersendiri dan agenda tersembunyi demi survivalnya dalam pilihan raya umum akan datang.

Parti-parti komponen lain, PKR, PAN dan PPBM sememangnya ghairah untuk bergabung dan menggunakan logo Pakatan Harapan sebagai satu gabungan kuasa pembangkang yang jitu bagi menarik keyakinan pengundi pada PRU14 nanti.

Persoalannya mengapakah setelah tiga kali CEC DAP diadakan dalam jarak lima tahun, ia masih mengulangi kesilapan lalu, seakan-akan kesilapan tersebut disengajakan?

Ironinya jika dianalisis keputusan PRU13, kita dapati bahawa dalam komponen PH, DAP-lah yang paling dominan dengan jumlah 37 kerusi parlimen, manakala PKR 28 kerusi parlimen.

Tidak perlu diberikan perhatian sangat pada 6 kerusi parlimen PAS yang kini berpindah kepada PAN apabila PAS keluar daripada gabungan pembangkang. Manakala PPBM hanya mempunyai satu kerusi parlimen sahaja. PAN dan PPBM masih kabur kedudukan mereka pada PRU14 nanti.

Walau bagaimanapun, harus disedari bahawa DAP telah memenangi kerusi parlimen di kawasan tertentu atas ihsan penyokong PAS dan PKR. Begitulah juga wakil PKR yang menang di kawasan tertentu kerana didorong oleh faktor ihsan penyokong DAP dan juga PAS.

Pemberat yang datangnya daripada faktor penyokong PAS sudah tiada lagi untuk PKR dan DAP pada PRU14 ini kerana PAS bukan lagi bersama dalam gabungan pembangkang.

Dengan itu juga bagi DAP, untuk mengekalkan kekuatannya, ia harus memenangi hati pengundi Cina yang amat sensitif dengan pendekatan dan gelombang Islam terutamanya dengan aura Islamofobia, negara Islam, undang-undang Islam, isu agama anak-anak kepada ibu-bapa yang memeluk agama Islam, isu Zakir Naik, isu pelarian Islam Rohingya dan pelbagai lagi.

Jika sekiranya DAP menggunakan logo Pakatan Harapan (PH), kebangkaliannya untuk memenangi hati pengundi Cina akan jauh berkurangan. Dari logik politik, PH akan banyak menggunakan strategi untuk memenangi hati pengundi Melayu-Islam yang pastinya tidak disenangi oleh pengundi Cina.

Sebab itulah DAP terdorong kepada pendekatan cauvinis Cina kerana itulah pendekatan populis untuk memenangi hati pengundi Cina khususnya di kawasan bandar yang lewah dengan penduduk Cina.

Isu yang memudaratkan lagi DAP dalam hal penggunaan logo PH ialah faktor Tun Dr Mahathir (TDM) yang dilihat oleh golongan intelektual Cina sebagai diktator yang telah menyalahgunakan kuasanya ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu. Sikap rasis TDM terhadap kaum Cina juga amat tidak disenangi oleh pengundi Cina.

TDM pernah berkata, “Mereka (Cina) lebih berkuasa kerana orang Melayu asyik berperang sesama mereka. Dan bila berperang pula pi cari orang Cina nak suruh sokong, berpeluk-peluk dengan orang Cina pasai nak sokongan dia. Jadi dia naik tocang kerana kita hendak sangat sokongan dia.”

Mungkin juga DAP dan PH telah melakukan kesilapan besar apabila menerima TDM dan PPBM sebagai salah satu komponen PH. Banyak tuduhan yang dibuat oleh TDM adalah tertuju juga kepada dirinya sendiri. TDM sejak era perjuangan reformasi lagi telah dipersepsikan sebagai zalim, mengamalkan kronisme dan nepotisme.

Sebagaimana didakwa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang, “Pengerusi PPBM itu (TDM) adalah penyebab kerosakan sistem negara apabila mengurangkan hak dan kuasa Melayu-Islam dan Majlis Raja-Raja, mengamalkan demokrasi tempang dan mentadbir negara secara diktator serta mengamalkan politik wang.”

Maka, jalan terbaik untuk tidak menggunakan logo dan panji PH adalah dengan cara menghalang pendaftaran PH sebagai gabungan parti-parti pembangkang. Untuk itu amat baiklah CEC DAP dikucar-kacirkan dengan amalan penyelewengan, jika tidak penipuan, agar ia menjadi penghalang kepada pendaftaran PH. Isu ini juga telah dihuraikan oleh MalaysiaToday.

Namun seakan-akan suatu rahmat bagi DAP apabila PPBM juga menghadapi masalah pendaftaran. Dengan itu terdapat dua dampak (impact) yang akan menghalang pendaftaran PH mengikut syarat perundang-undangan ROS.

Agak mengejutkan juga apabila terdapat pandangan yang mahu PPBM dinyahkan daripada gabungan pembangkang sekiranya ia mengganggu penubuhan PH.

Menurut penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir, PPBM yang gagal mematuhi perlembagaan parti, kini mengheret gabungan pembangkang ke dalam krisis dan bakal menjejaskan prestasi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).“Konflik dan masalah yang membelenggu PPBM menyebabkan parti itu menjadi duri dalam daging pada Pakatan Harapan”.

Dengan itu Jeniri berpendapat pembangkang perlu menyingkirkan PPBM daripada gabungan mereka jika mahu melihat hasrat menjadikan Pakatan Harapan sebagai gabungan parti yang sah, menjadi realiti.

PAN dan PPBM sememangnya amat bersemangat untuk masuk ke gelanggang PRU14 dengan menggunakan logo dan panji PH. Apa tidaknya kerana pada hakikatnya PAN dan PPBM hanyalah penumpang dalam gabungan pembangkang itu.

Inilah juga persoalan yang sukar dijawab oleh TDM apabila dikemukakan pertanyaan apakah PPBM mempunyai suara yang dominan dalam PH sedangkan ia hanya mempunyai satu kerusi sahaja, sebaliknya DAP mempunyai 37 kerusi parlimen dan PKR mempunyai 28 kerusi parlimen.

Layakkah TDM dipilih menjadi PM, atau Tan Sri Muhyiddin Yassin dari PPBM sedangkan dalam konteks jumlah ahli parlimen Dato Seri Anwar Ibrahim dari PKR yang lebih layak (jika mendapat keampunan DYMM Agong)?

Sebaliknya dalam komponen pembangkang, parti yang paling kuat ialah DAP kerana ia mempunyai jumlah kerusi parlimen yang terbanyak.

Dengan itu Lim Kit Siang-lah yang amat dominan dan paling layak memegang kerusi Perdana Menteri. Tidak ada mana-mana klausa dalam perlembagaan persekutuan yang mensyaratkan bahawa rakyat berbangsa Cina tidak boleh menjadi Perdana Menteri (walaupun kita faham terdapat undang-undang yang tidak tersurat).

Mungkin inilah visi Lim Kit Siang. Adakah ini yang pihak pembangkang impikan dan adakah ini juga yang menjadi harapan para pengundi?