Kami Tidak Mahu Fitnah Kamu Dato’ Seri Mukhriz : Monolog 1

KADANGKALA apabila kami rakyat marhaen dan murba ini merenung wajah kamu, Dato’ Seri Mukhriz (DSM), kami nampak refleksi hati kamu yang mulia. Kami juga dapat melihat pada wajah kamu kelembutan dan baik budi pekerti.

Ramai yang lupa bahawa bukan semua anak mengikut tabiat dan perangai bapanya. Yang membina perwatakan seseorang itu adalah agama, persekitaran, pendidikan, pengalaman, rakan sebaya, masyarakat sekeliling dan banyak faktor lain lagi yang mempengaruhi dan memberi kesan, bukan sekadar DNA.

Namun masih ramai yang berprasangka bahawa darah bapa ada dalam tubuh anak maka perangai anak pun sama seperti bapa. Hipotesis itu mungkin tidak benar.

Setiap kali kami merenungi wajah kamu DSM, kami lebih banyak melihat kelembutan hati budi Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dan bukannya sifat Tun Dr Mahathir Muhammad (TDM) yang kontemporarinya mendapat kritikan yang parah.

DSM, kamu tidak seperti bapa kamu. Kamu jauh lebih bersopan dan pandai menjaga tutur kata. Kamu tidak menarik perhatian media dan khalayak dengan kenyataan kontroversial, kerana hati kamu mulia, tidak suka menyakiti perasaan rakyat, dan perasaan orang lain. Cuma mungkin DSM, kamu terheret bersama dalam kancah politik yang ganas, dengki dan khianat untuk menggarap ‘kuasa’. Maka kamu terikut-ikut dan cuba berdiri selari dengan TDM tapi tidak seiring.

Kamu berada di belakang TDM, bukan kerana kamu sama seperti dia Kamu berada di belakang TDM kerana dia bapa kamu. Atas sikap dan sifat mulia kamu, kamu menghormati seorang bapa, biar bagaimana buruk sekalipun perangai bapa kamu, biar bagaimana teruk sekalipun kutukan orang terhadap bapa kamu, biar bagaimana banyak dosa dan kesalahan bapa kamu pada rakyat, sebagai seorang anak, kamu terpaksa menghormati dia sebagai bapa.

Namun, sebagai seorang anak kepada PM yang suatu ketika dahulu tersohor dan amat dihormati, apa-apa senario negatif yang dilemparkan pada potrait seorang bapa, maka tempiasnya tertimpa juga pada kamu.

Apatah lagi apabila kamu juga telah dengan rela melibatkan diri dalam sfera politik yang amat terkesan pada bapa kamu. Atau adakah kamu diheret oleh bapa kamu, yang mahu melihat kamu menjadi PM suatu hari nanti demi survival dia juga? Atau sebenarnya TDM yang mendesak dan terdesak sangat mahu mengangkat kamu menjadi PM. Apa sebenarnya motif bapa kamu?

Adakah dia takut kekayaan keluarga kamu akan hilang kerana Anwar Ibrahim pernah berkata, Dr Mahathir bimbang kehilangan pegangan syarikat-syarikat miliknya dan kroni yang sekian lama menguasai ekonomi negara termasuk Esso Malaysia (kini Petron Malaysia) sekiranya Putrajaya ditadbir Pakatan Rakyat. Dia (Dr Mahathir) takut saya rampas harta dia dan anak-anak dia.

Ramai dalam kalangan rakyat yang tidak tahu apa sebenar-benarnya berlaku dalam kancah percaturan politik bapa kamu pada hari ini. Hanya Allah sahaja yang tahu. Tetapi, rakyat melihat bongkah-bongkah realiti yang mengelilingi kamu DSM dan bapa kamu, dengan pemikiran kritis.

Rakyat cuba mencari kebaikan bapa kamu tetapi mereka banyak terjumpa keburukannya. Hari ini keburukan bapa kamu TDM seperti melampaui kebaikan yang pernah dia sumbangkan. Sebagaimana peribahasa Melayu, “Hilang panas setahun dik kerana hujan sehari.”

Ramai juga dalam kalangan rakyat telah menyimpulkan bahawa bapa kamu zalim, diktator, pendengki dan khianat. Mereka mungkin salah. Tetapi TDM sendiri pula mengaku, memang dia diktator.

Almarhum Ust. Fadzil Nor, bekas Presiden PAS pernah menyatakan bahawa suatu hari nanti bapa kamu akan dapat melihat kerosakan yang telah dibuatnya pada orang Melayu-Islam. ‘Hari itu’ sudah pun kelihatan.


Bapa kamu kutuk orang Melayu-Islam yang bersekongkol dengan DAP dengan melihat gelagat pemimpin krang ‘IQ’ PAS pada suatu ketika dahulu.


PAS kata DAP syaitan, kemudian mereka berbaik dengan DAP. Bila ditanya, pemimpin mereka menjawab dengan pusingan ‘U’ pula, “Boleh berkawan dengan syaitan jika syaitan boleh membawa PAS menguasai Putrajaya.”

Peliknya pemimpin ‘kurang IQ’ dalam PAS itu berkata boleh berkawan dengan syaitan sedangkan firman Allah “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang lagi nyata” (Surah Al-Baqarah: 208).

Firman Allah lagi, “Syaitan itu menjanjikan kemiskinan kepada kamu, dan menyuruh kamu mengerjakan perbuatan keji” (Surah Al-Baqarah: 268).

Tidak hairanlah apabila ada Mufti yang mengeluarkan fatwa bahawa DAP “kafir harbi”.

Pemimpin yang ‘kurang IQ’ dalam PAS itu juga lupa pada amanat Almarhum Ust Fadzil Nor, “Jangan masuk PAS kalau anda cari dunia. Anda jangan perasan macam anda ulama kalau perjuangan anda hanya setakat serban, jubah dan kopiah.”


TDM mengutuk keras orang-orang yang bersekongkol dengan DAP yang dipersepsikan sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja Melayu. Rakyat Melayu-Islam bersetuju dengan bapa kamu dalam hal ini.

Namun kini bapa kamu pula mengulangi apa yang dibuat oleh pemimpin kurang ‘IQ’ PAS; berbaik dengan DAP, dan ‘tidur sebantal’ dengan Lim Kit Siang. Rakyat pun mula buat fitnah bahawa bapa kamu TDM hipokrit, ‘menjilat ludah sendiri’, tetapi ironinya memang itulah sebenarnya perangai bapa kamu.

Bapa kamu TDM, juga telah menyerang Anwar Ibrahim pada 1998 dengan tuduhan amalan seks di luar tabii dan rasuah. Dia dipenjara enam tahun. Keluar penjara dia terkena pula jerat (siapa yang pasang jerat pun kita tidak tahu). Dengan itu dia dipenjara pula lima tahun lagi atas tuduhan sodomi. Apabila PAS setuju dan turut mengutuk Anwar Ibrahim, TDM rasa lega dan puas hati.


Tetapi pada hari ini bapa kamu TDM sanggup mencemarkan imejnya menjenguk Anwar di penjara, berbaik dengan Anwar dan membina satu pakatan untuk menghancurkan parti yang sekian lama berjuang untuk survival orang Melayu-Islam. Sememangnya bapa kamu ‘menjilat ludah sendiri’.

Seronoknya melihat bapa kamu berbaik dengan Anwar Ibrahim. Maka hilanglah perjuangan gerakan reformasi yang menjerit memekik di tepi jalan untuk menentang Mahafiraun dan Mahazalim. Dengan itu juga kami melihat kedua-duanya sama hipokrit.

Namun dalam forum “Nothing to Hide” bersama anak-anak muda Malaysia, bapa kamu mengutuk pula Anwar dengan kenyataan bahawa Anwar bukan sahaja bersodomi tetapi pernah “masturbate” lelaki lain kerana keserakahan nafsunya. Kanapa DSM?

Bapa kamu bukan sekadar mengatakan Anwar Ibrahim tidak layak menjadi PM, tetapi menegaskan amat bahaya jika Anwar menjadi PM kerana negara akan musnah dibuatnya nanti.

Kadangkala kami rasa kamu DSM, berada dalam gelanggang yang salah. Kamu tidak sepatutnya masuk politik. Cukuplah dengan apa yang rakyat perhatikan pada gelagat bapa kamu. Kamu baik DSM, politik bukan tempat kamu. Politik ini untuk orang gila kuasa dan gila wang ringgit.

Maafkan kami kerana memberikan persepsi sedemikian DSM.