Kami Tidak Mahu Fitnah Kamu Dato’ Seri Mukhriz : Monolog 2

DATO’ Seri Mukhriz (DSM), pada satu ketika dahulu bapa kamu telah mengingatkan rakyat akan bahayanya sekiranya Anwar Ibrahim dipilih menjadi PM kerana dia akan memusnahkan negara.

Dalam kontek reformasi yang digerakkan oleh Anwar Ibrahim, kami rakyat marhaen lagi murba, melihat bahawa asas gerakan reformasi itu adalah untuk menentang bapa kamu yang mereka persepsikan sebagai ‘mahafiraun dan mahazalim’.


Gerakan reformasi itu banyak memekik-melolong di tepi jalan, dan mendapat sokongan daripada PAS dan DAP. Mereka melihat bapa kamu (TDM) sebagai zalim dan tidak adil dan dengan itu, lahirlah Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya bertukar menjadi Parti Keadilan Rakyat.

Secara kasarnya, rakyat tidak nampak pun bila masa yang Anwar telah memusnahkan negara seperti yang didakwa oleh bapa kamu. Adakah negara telah musnah dan akan musnah kerana gerakan reformasi? Rosakkah negara kerana gerakan reformasi Anwar Ibrahim itu?

Memang ada risiko dan dampaknya pada ekonomi setempat namun tak nampak pula dampak yang menyeluruh dan tuntas melumpuhkan seluruh negara.

Gerakan reformasi Anwar Ibrahim itu tidak seperti 13 Mei 1969 atau ‘Operasi Lalang’ dan tidak juga seperti ‘Tragedi Memali’ yang sehingga hari ini masih ada yang mendendami bapa kamu TDM.

DSM, kamu pun tahu, dampak ‘Operasi Lalang’ kepada pencabar dan pengkritik bapa kamu yang dipersepsikan sebagai penganiayaan kepada mereka melalui salah guna ISA. Ramai yang masih mendendami bapa kamu.

Walau bagaimanapun, bukan itu yang kami nak bangkitkan di sini. Perkara yang menjadi persoalan dan berlegar pada fikiran rakyat ialah bapa kamu dipersepsikan dengan agenda untuk mengangkat kamu sebagai PM.

Kamu kata dia tak benarkan kamu dan anak-anaknya yang lain berkecimpung dalam politik, namun hanya setelah dia mengumumkan persaraannya baru kamu muncul dalam arena politik; sebagai pemimpin muda UMNO. Rakyat tidak berfikir semacam itu.

Pada pertengahan 2002, bapa kamu menangis kerana terpaksa melepaskan kerusi PM. Jika menangis dalam bilik seorang diri itu biasalah. Ini menangis atas pentas, seakan-akan dia dipaksa untuk meletakkan jawatannya.

Kalau dia dipaksa, letaklah jawatan itu dengan segera, tetapi tidak, dia hanya meletakkan jawatan PM kira-kira 15 bulan selepas itu. Dia seperti tidak mahu meletakkan jawatan PM tersebut, tetapi dia seperti dipaksa.

Dengan alasan ‘terpaksa meletakkan jawatan’ itulah rakyat melihat rasionalnya kamu memasuki politik. Rakyat juga melihat ada agenda ‘last minute’ bapa kamu kerana apabila dia keluar, kamu masuk. Lebih mengukuhkan lagi dia sering masuk campur dalam hal kedudukan kamu dalam parti.

Agak mengejutkan apabila MalaysiaToday melaporkan bahawa pada tahun 2004, bapa kamu TDM bukan meletakkan jawatannya sebagai PM dengan rela hati sebagaimana yang dia uar-uarkan. Ia berkontradik dengan air mata yang dia tunjukkan di atas pentas Perhimpunan Agung UMNO 2002.

Menurut MalaysiaToday: “Pihak Polis Cawangan Khas telah memberitahu Mahathir bahawa dia akan kalah dalam pilihan raya 2004 jika dia terus kekal sebagai Perdana Menteri. Dengan itu Mahathir telah meletakkan jawatannya beberapa bulan sebelum pilihan raya umum dan BN telah mencatat sejarah kemenangan yang besar dalam sejarah. Rakyat Malaysia amat gembira kerana Mahathir sudah tiada dan mereka memberikan 91% kerusi kemenangan kepada BN. Jadi Mahathir tidak meletakkan jawatan atas kerelaan hatinya. Dia terpaksa berundur atau jika tidak, dia akan ditendang keluar. Dan dia diberitahu bahawa jika dia ditendang keluar dia akan dipenjarakan. Jadi lebih baiklah dia berundur dan terus memiliki bilion ringgit dengan tindakannya itu.”

Sebagai mengesahkan laporan itu, MalaysiaToday meminta pembaca bertanya kepada bekas Timbalan Pengarah Polis Cawangan Khas (PCK) Hamid Bador, bagaimana PCK telah menasihatkan bapa kamu TDM supaya meletakkan jawatan sebelum PRU 2004 atau menghadapi kekalahan dalam pilihan raya itu dan kemudiannya dipenjarakan.

Laporan tersebut menjawab persoalan ‘kenapakah TDM menangis sekiranya pengumuman untuk meletakkan jawatannya sebagai PM adalah dengan kerelaan hatinya?’  

Tidakkah tangisan itu menggambarkan perilaku yang terdesak; suatu keputusan yang dibuat secara terpaksa dan menyedihkan?

Meskipun keputusan peletakan jawatan itu ditangguhkan selama 15 bulan dan tidak berkuat kuasa serta-merta tetapi ia tetap berlaku sebelum PRU 2004. Dengan itu juga pendedahan yang dibuat oleh MalaysiaToday mengandungi logik yang amat signifikan.

Jadi adakah bapa kamu fikir dia akan selamat setelah dia meletakkan jawatan? Adakah kekayaan dia akan dipertahankan? Siapakah yang akan mempertahankan kekayaan bapa kamu dan adik-beradik kamu semua? Tidak ada sesiapa kecuali kamu!

Jadi logiknya kamulah yang mesti memainkan peranan. Maka inilah yang dilihat oleh rakyat sebagai agenda ‘last minute’ bapa kamu. Agenda terdesak. Maka dia terpaksa tolak kamu naik tidak seperti orang lain yang bermula dari bawah.

Kemudian rakyat melihat kamu pula masuk ketika bapa kamu keluar. Malangnya DSM, kamu tidak mempunyai bakat ‘putar belit’ politik seperti bapa kamu.

MalaysiaToday mencongak bahawa sebelum bapa kamu keluar selama 15 bulan dia mengatur strategi dan memastikan Tun Abdullah Ahmad Badawi (TAAB) membantu dia untuk menaikkan kamu pada hierarki tangga politik UMNO. Rakyat melihat, meneliti dan berfikir, DSM.

Sebagaimana dilaporkan oleh Pejuang Cyber pada Nov 2008, bapa kamu yang sudah bersara cuba untuk campur tangan demi survival politik kamu. Dia cuba menentang pengaruh Khairy Jamaluddin kerana Khairy adalah pencabar kamu pada hierarki kepimpinan UMNO bagi jawatan Ketua Pemuda.

Pejuang Cyber menyatakan:

Tun (TDM) menyerang Khairy Jamaluddin secara terus terang dan cuba menghakiskan sokongan yang diperolehi oleh Khairy Jamaluddin. Inilah politik yang paling jijik dimainkan oleh Tun untuk memenangkan anak beliau. Dalam serangan itu Tun berkata, ”Pada 2008 pengundi termasuk ahli dan penyokong setia Umno telah tolak Umno hanya kerana pucuk pimpinan Umno yang tak mampu memimpin, yang tunduk kepada Singapura, yang tak tahu kenang budi, yang utamakan anak menantu lebih daripada rakyat dan bermacam lagi. Kerana orang ini seorang, pengundi telah dengan berat hati undi parti lawan.

 

Pejuang Cyber turut menambah:

Tun juga bercerita mengenai Politik wang dalam UMNO. Ini seolah-olah Tun mahu membersihkan Politik wang yang diamalkan oleh Mukhriz secara besar-besaran sewaktu pencalonan yang dahulu. Bukti telah banyak kita terima, mulut tempayan boleh kita tutup, mungkin Tun lupa mulut orang sukar ditutup. Yang terima wang akan bercerita, Mukhriz juga dengan cara bodoh menafikan berhawa beliau terlibat dengan politik wang apabila berkata, jika ada ejen yang memberikan wang atas nama beliau itu adalah satu sabotaj yang mahu memburukkan beliau.

Pejuang Cyber juga mempersoalkan:

Apakah orang percaya Anaz mesin ATM Mukhriz itu adalah ejen yang mahu memburukkan Mukhriz? Apakah orang akan percaya beberapa nama yang begitu rapat memberikan wang atas nama Mukhriz juga adalah ejen yang mahu memburukkan Mukhriz? Rakyat bukan bodoh. Mukhriz telah pun memberikan wang dan tidak perlu menutup bangkai busuk ini dengan menyatakan bahawa ejen mahu memburukkan beliau. Tun tak perlu cuci mangkuk untuk Mukhriz dengan menyerang orang lain. Tun sepatutnya menerangkan kepada pemuda dan rakyat betapa bijaknya anak beliau dan Mukhrizlah orang yang paling layak untuk jadi Ketua Pemuda UMNO. Dedahkan keistimewaan Mukhriz, jika ada. Kami hanya tahu Mukhriz ini hanyalah silembik yang masih menyusu di bawah ketiak Tun.

Jika benar Anaz itu mahu merosakkan nama baik kamu sebagai ejen menyogok wang, kenapa tidak heret dia ke mahkamah?

Jadi DSM bagaimana kami sebagai rakyat harus menyusun pemikiran kami, kalau ini yang dilaporkan kepada kami. Itu adalah peristiwa 2008. Sekarang sudah 2018 DSM.

Pada masa ini, kamu tidak sensitifkah dengan apa yang sedang berlaku dalam PPBM pula? Kami cuba menolak semua fitnah ini, tapi kami tidak terdaya DSM.

Kamu cukup bertuah kerana ‘naik begitu cepat’ dari Bendahari hingga menjadi Timbalan Presiden tanpa halangan dan tanpa pertandingan dalam PPBM. Tetapi bapa kamu lupa bahawa, tindakan dia menaikkan kamu menjadi isu dalam PPBM sendiri. Akibatnya ramai tokoh yang dahulunya berjuang untuk membina PPBM telah keluar parti seperti Dato’ Seri Khairuddin Abu Hassan dan Kamarulazman Habibur Rahman. Mereka jelek dengan tingkah nepotisme bapa kamu itu.

Bekas penaja PPBM, Kamarulazman mempunyai asas yang kukuh untuk meninggalkan parti itu kerana melihat perkara ‘ganjil’ dan wujudnya ‘tangan ghaib’ dalam PPBM.

“Bagaimana anak emas ini (kamulah yang dimaksudkan) boleh mendapat kenaikan jawatan tanpa sebarang pemilihan dijalankan, apabila kamu diangkat terus dari kedudukan Bendahari ke Naib Presiden dan dari Naib Presiden ke Timbalan Presiden?

Menurut Kamarulazman, “Ini menjawab persoalan mengapa Mahathir bergiat semula dalam politik dan mengkritik kami yang meninggalkan PPBM.

Bapa kamu yang juga Pengerusi PPBM semasa berucap pada Perhimpunan Agung pertama PPBM menyifatkan mereka yang meninggalkan parti itu sebagai ‘sampah’ dan mendakwa mereka kecewa tidak diberikan kedudukan atau jawatan dalam parti.

Kamu pun lihat bagaimana bahasa buruk yang bapa kamu gunakan, sedangkan yang keluar parti itu sebahagiannya adalah mereka yang merupakan pengasas penubuhan PPBM.

 

Kamarulazman juga mendakwa, bapa kamu mempunyai sebab tertentu kenapa beliau kembali aktif dalam politik walaupun usianya telah menjangkau 93 tahun.

“Mengapa beliau (TDM) begitu berminat dengan ‘kewujudan’ kami (bekas pemimpin PPBM)? Pasti ada sesuatu bahaya yang kami bawa terhadap PPBM dan Mukhriz. Nampaknya beliau bersungguh-sungguh ingin membunuh karakter dan kredibiliti kami kalangan pemimpin dan ahli PPBM,” katanya.

Kamarulazman juga berpendapat, tindakan itu juga adalah sebagai langkah bapa kamu untuk menutup mulut dalam menyatakan pandangan bahawa kamu tidak mempunyai kebolehan untuk menjadi seorang pemimpin politik yang berkaliber.

Hal ini selari dengan kritikan dari sebuah media dalam talian GelagatAnwar sebagaimana berikut:

Harap Tun M bersedia menerima teguran terhadap kepimpinan anaknya di Kedah yang dirasakan sangat lemah dan mula mendatangkan rasa menyampah di kalangan pegawai awam, pekerja swasta dan rakyat biasa di Kedah. Semua orang beranggapan, Mukhriz adalah anak seorang tokoh UMNO terbilang yang pastinya akan membawa rentak pembangunan baru di Kedah. Sayangnya, setakat ini, Mukhriz hanya mengikut sahaja template percakapan yang disediakan oleh pegawai, tanpa ada strategi besar untuk Kedah.

Dengan itu, nampaknya tuduhan Kamarulazman terhadap kamu telah membenarkan apa yang dikritik oleh rakyat semasa kamu menjadi Menteri Besar Kedah tempoh hari.

Bagi Kamarulazman, bapa kamu tidak perlu berpura-pura dengan matlamat sebenar perjuangannya dalam PPBM

Kata Kamarulazman:

“Apakah sebenarnya jawatan Mukhriz dalam PPBM? Sungguh memalukan, ini sepatutnya tidak berlaku. Saya masih ingat lagi jawatan sebenar Mukhriz ketika mesyuarat penaja parti ialah sebagai bendahari dan saya setiausaha.

Kemudian Kamarulazman mendakwa berlaku pula ‘perubahan’ (penipuan?) ketika dia menyerah dokumen pendaftaran PPBM ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Saya serahkan senarai jawatankuasa PPBM di mana Mukhriz sebagai bendahari, seperti apa yang diputuskan oleh mesyuarat penaja,” dakwanya.

Namun Kamarulazman tergamam apabila pegawai ROS yang bertanggungjawab bertanya kepadanya mengenai kewujudan dua senarai jawatankuasa berbeza.

Kemudian katanya, “Dalam mesyuarat luar biasa yang tidak diiktiraf oleh ROS, Mukhriz sekali lagi dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Presiden.

Tindakan bapa kamu itu diterjemahkan sebagai ‘pilih kasih’ dan menipu ahli-ahli PPBM. Ia dikatakan menjadi punca ramai pemimpin awal PPBM keluar parti.

Adakah semua ini sebagai satu fitnah ke atas kamu dan bapa kamu,TDM? Kami tidak tahu DS Mukhriz dan kami tidak mahu memfitnah sesiapa.